Kikis persepsi negatif, beri peluang bekas banduan kembali pada masyarakat

Bernama
Disember 7, 2023 06:15 MYT
Persepsi bahawa bekas banduan sebagai penjenayah untuk selama-lamanya dan tidak boleh kembali ke pangkuan masyarakat perlu dikikis, kata Presiden Persatuan Sahabat Penjara Malaysia, Tan Sri Azman Hashim. - Gambar fail/BERNAMA
TAPAH: Persepsi bahawa bekas banduan sebagai penjenayah untuk selama-lamanya dan tidak boleh kembali ke pangkuan masyarakat perlu dikikis, kata Presiden Persatuan Sahabat Penjara Malaysia, Tan Sri Azman Hashim.
Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya terus menghukum bekas banduan kerana ramai dalam kalangan mereka sudah pulih dan mahu kembali ke kehidupan asal.
Menurutnya, sikap orang ramai yang berterusan menghukum bekas banduan juga menyebabkan sebilangan daripada mereka sukar berubah malah ada yang terjerumus semula ke tabiat lama.
"Mereka sudah pun menerima hukuman setimpal, jadi masyarakat harus beri peluang kedua kerana penjara bukanlah penamat kepada segala impian. Setiap daripada mereka harus berusaha ke arah kebaikan dan masyarakat pula menerima mereka kembali," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Karnival Sukan Penghuni Peringkat Jabatan Penjara Malaysia 2023 di Penjara Tapah, di sini, pada Khamis.
Program tahunan itu yang berlangsung empat hari berakhir hari ini, menghimpunkan 500 penghuni daripada 21 intitusi penjara di Semenanjung Malaysia bersama 250 pegawai penjara, dengan Perak sebagai tuan rumah.
Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah sepak raga bulat, sepak takraw, bola jaring, karom, congkak, tarik tali dan gusti lengan.
Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abd Razak, Pengarah Pengurusan Banduan Ajidin Salleh dan Pengarah Penjara Negeri Perak, Charin Promwitchit Cem.
Sementara itu, Azman berkata, menjadi keutamaan pihaknya untuk terus menyokong agenda dan program yang dianjurkan Jabatan Penjara Malaysia agar visi serta misi jabatan dapat dicapai bertepatan dengan objektif penubuhan persatuan.
"Persatuan amat berbesar hati dan bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan agensi berkaitan menjayakan program ini yang berguna bagi kepentingan banduan," katanya. - BERNAMA
#pesepsi negatif #bekas banduan #penjenayah #Azman Hashim
;