KIGIP tawar prospek kerjaya menarik, berkualiti - Tengku Zafrul

Bernama
Jun 15, 2024 23:44 MYT
Tengku Zafrul berkata KIGIP dilihat melengkapi limpahan permintaan (spillover demand) selaras dengan kepesatan industri di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park. - Gambar Bernama
BAGAN SERAI: Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) mampu menawarkan prospek kerjaya menarik serta berkualiti kepada bakat tempatan di kawasan sekitarnya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata KIGIP akan menjadi hab di utara negara untuk menyemai bakat dan inovasi, berdasarkan lokasinya yang strategik serta berdekatan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran tinggi termasuk Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pusat Latihan Giat MARA.
"Lokasi strategik ini akan memastikan bekalan graduan mahir mencukupi untuk mengisi jawatan berkemahiran dan bernilai tinggi di KIGIP, di samping mengutamakan dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran untuk terus berkembang maju," katanya ketika memberi ucapan aluan pada Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Tengku Zafrul berkata KIGIP dilihat melengkapi limpahan permintaan (spillover demand) selaras dengan kepesatan industri di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park.
Menurut Tengku Zafrul, beliau percaya selepas beroperasi sepenuhnya, KIGIP akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.
"Dengan tawaran nilai (value-proposition) yang tersendiri, KIGIP bukannya bersifat bersaing, tetapi saling melengkapi taman-taman perindustrian sedia ada di sekitarnya," katanya.
Sementara itu, Saarani ketika berucap berkata KIGIP bakal menjadi pelengkap mengukuhkan ekosistem perindustrian di Perak.
Beliau berkata di selatan Perak sudah terdapat Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, manakala di pantai barat pula wujudnya Bandar Perindustrian Ma-ritim Lumut (LuMIC) dan Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), sementara Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kinta.
"Dengan ekosistem perindustrian yang kukuh, mudah-mudahan kita dapat menghadirkan limpahan manfaat kepada rakyat melalui kewujudan pusat-pusat ekonomi baharu yang menyediakan pekerjaan selain menghamparkan ruang serta peluang kepada rakyat untuk berniaga dan mencari rezeki.
"Kehadiran KIGIP ini juga membawa bersama projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu yang tentunya menyuluh sinar baharu kepada penduduk khususnya di daerah Kerian ini yang berdekad lamanya berdepan derita akibat isu kekurangan air, termasuk bagi golongan petani yang membanting tulang mengusahakan tanah-tanah pertanian," katanya.
-- BERNAMA
#KIGIP #ucapan aluan #graduan mahir #TVET
;