KIGIP bakal jadi hab semai bakat dan inovasi - Anwar
Bernama
Julai 2, 2024 13:40 MYT
Julai 2, 2024 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) bakal menjadi antara hab di utara Malaysia untuk menyemai bakat dan inovasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini berdasarkan lokasinya yang berdekatan dengan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran tinggi seperti institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pusat Latihan Giat MARA.
"Faktor ini akan dapat memastikan bekalan graduan mahir bagi mengisi jawatan berkemahiran dan bernilai tinggi untuk KIGIP, selain memupuk dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan mampan untuk terus berkembang maju," kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, perancangan bagi pembangunan Projek KIGIP sedang dilaksanakan secara pendekatan Keseluruhan Kerajaan menerusi kerjasama dan sinergi antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak serta SD Guthrie Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
"Buat masa ini, proses penyediaan Pelan Induk KIGIP oleh SD Guthrie Bhd dipantau di bawah Pasukan Petugas Khas Pembangunan KIGIP yang dipengerusikan secara bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri Perak.
"Malah, status penyediaan pelan induk ini dilaporkan secara berkala kepada Majlis Pelaburan Negara. Ini khususnya bagi memastikan perancangan dan pembangunan KIGIP selaras dengan hasrat kerajaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan," kata beliau.
Perdana Menteri berkata KIGIP adalah satu projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama dengan fasa pertama melibatkan pembangunan tanah berkeluasan 404.69 hektar.
"Selepas KIGIP beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi negara serta pelabur asing dan domestik dijangka berminat untuk melabur di KIGIP," kata beliau.
Beliau berkata operasi syarikat multinasional (MNC) di KIGIP juga akan berupaya untuk membina rantaian bekalan yang akan mampu menyokong perkembangan industri domestik.
"Selain menjana aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan berkualiti, pembangunan KIGIP juga mampu menawarkan prospek kerjaya yang menarik dan berkualiti kepada bakat tempatan di kawasan sekitarnya," kata beliau.
-- BERNAMA