Kiet Cheng dipilih sertai Program Residensi Muzium Seni Asia UOB-Fukuoka

Nisreen Nadiah, Amirah Shariffudin
Mei 29, 2019 18:32 MYT
Pemenang Pertandingan 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia), Cheong Kiet Cheng telah dipilih untuk Program Residensi Pelukis Muzium Seni Asia UOB-Fukuoka (FAAM).
Pemenang Pertandingan 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia), Cheong Kiet Cheng telah dipilih untuk Program Residensi Pelukis Muzium Seni Asia UOB-Fukuoka (FAAM).
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, ia satu kebanggaan apabila pelukis Malaysia telah dipilih untuk program berprestij berkenaan.
“Ini adalah tahun ketiga berturut-turut dan kali kelima pelukis Malaysia dipilih untuk program residensi ini.
“Residensi Kiet Cheng ini adalah bukti bahawa bakat artistik amat luas di Malaysia di samping menunjukkan bagaimana Pertandingan Tahun Lukisan UOB dapat memupuk generasi pelukis Asia Tenggara yang hebat dalam masa akan datang.
“Pelukis baru dan berpengalaman, dijemput untuk mengemukakan penyertaan mereka dengan mengisi borang penyertaan, memberikan gambar fizikal atau digital karya seni mereka dan menghantar penyertaan mereka melalui e-mel atau pos,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu jelas Kim Choong, ia merupakan tahun ketiga berturut-turut di mana seorang pelukis Malaysia telah dipilih dari kalangan pemenang negara Pertandingan UOB Painting of the Year dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand untuk menyertai program residensi itu.
Program Residensi Pelukis UOB-FAAM yang berlangsung selama sebulan menyokong dan menggalakkan pembangunan para pelukis yang sedang meningkat maju melalui penganjuran pelbagai siri bengkel, ceramah dan pameran.
Melaluinya, UOB bertujuan untuk memberi lebih pendedahan dan peluang berinteraksi dengan pelbagai pelukis dari seluruh dunia yang menghadiri atau melawat FAAM di Fukuoka, Jepun.
Setiap tahun, panel hakim Painting of the Year dari UOB akan memilih pelukis tamu (artist-in-residence) selepas proses wawancara yang teliti dan kajian terperinci mengenai hasil karya mereka.
Kiet Cheng telah memenangi pertandingan 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia) untuk karya seninya yang bertajuk ‘Through the Eye of the Flower’.
Pelukis berumur 38 tahun itu mengagumkan pakar seni dengan kemahiran teknikal dan penggunaan dakwat pada kanvas dengan cara kreatif untuk memaparkan pelbagai simbol rumit dalam bentuk kolaj yang diilhamkan oleh alam semula jadi bagi menggambarkan kisah harapan dan pembaharuan.
“Memenangi anugerah UOB Painting of the Year (Malaysia) pada tahun lepas merupakan satu pencapaian amat besar bagi saya.
“Sebagai seorang pelukis, ia sememangnya satu penghormatan bagi saya untuk dipilih menyertai Program Residensi UOB-FAAM ini.
“Saya tidak sabar meluangkan masa sebulan untuk bekerjasama dan belajar dari pelukis antarabangsa lain di samping mengalami budaya baru dan berkongsi karya seni saya dengan penonton yang lebih luas,” kata Kiet Cheng
FAAM adalah satu-satunya muzium di dunia yang mengumpul dan mempamerkan karya seni Asia yang moden dan kontemporari.
Ia mempunyai koleksi tetap melebihi 2,900 karya seni.
Sejak Pertandingan UOB Painting of the Year mula diadakan di Malaysia pada 2011, empat pemenang tempatan yang lain telah melengkapkan program residensi mereka di Muzium Seni Asia Fukuoka.
Borang penyertaan boleh didapati secara dalam talian di www.uobpoy.com dan di semua cawangan UOB Malaysia di seluruh negara bermula 7 Jun 2019.
Penyertaan akan ditutup pada 22 Ogos 2019, jam 5.00 petang.
Pemenang anugerah 2019 UOB Painting of the Year (Malaysia), yang akan diumumkan di suatu majlis di Kuala Lumpur pada Oktober.
Pemenang akan membawa pulang RM100,000 dan berpeluang untuk bertanding dalam anugerah 2019 UOB Painting of the Year Asia Tenggara di Singapura pada November.
Pemenang 2019 UOB Painting of the Year Asia Tenggara akan memenangi wang tunai tambahan sebanyak AS$10,000 (RM41,300) dan berpeluang menyertai program residensi selama sebulan di FAAM.
Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan, sila layari www.uobpoy.com.
#Cheong Kiet Cheng #FAAM #Indonesia #Jepun #Malaysia #pertandingan #Residensi Pelukis Muzium Seni Asia UOB-Fukuoka #Singapura #Thailand #United Overseas Bank #UOB #UOB Painting of the Year Malaysia
;