Kibar bendera atau tidak, bantuan tetap diberi - Shariffa Sabrina
Ridauddin Daud
Julai 5, 2021 18:49 MYT
Julai 5, 2021 18:49 MYT
SHAH ALAM : Ketika sebilangan pihak mempertikaikan kewajaran mengibar bendera putih, ada orang yang tidak ambil peduli pun hal itu.
Tidak kiralah anda kibarkan bendera atau tidak, ada pihak yang akan tetap membantu dengan pelbagai cara kerana mereka tidak sampai hati melihat ada yang kelaparan di bumi bertuah ini.
Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh memberi cabaran luar biasa kepada masyarakat namun dengan kehadiran insan berhati mulia, sedikit sebanyak memadam gundah di jiwa.
Sejak beberapa hari lepas, tanda pagar bendera putih ‘berkibaran’ di alam maya dan di dunia realiti, kibarannya membawa makna adanya kepayahan dan keperitan yang tersembunyi.
Maka, lajulah rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan sifat pemurah membantu mereka yang terkesan, sama juga seperti insan ini, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Beliau memang terkenal dengan kelantangannya ketika ‘berperang’ dengan penceroboh alam sekitar namun melihat sendiri kesusahan rakyat, hatinya tersentuh.
Baginya, dengan apa yang beliau miliki, tidak salah untuk berkongsi.
“Saya dapat tahu ramai rakyat yang tiada duit untuk beli tong gas pun untuk masak. Kita tak mahu ada rakyat kelaparan kerana ini tidak menunjukkan kebaikan kepada sesebuah negara kalau ada rakyat kelaparan.
“Jadi sama-sama kita bersatu hati dan di Tanah Aina ini, kita masak dan berikan kepada sesiapa sahaja. Datanglah ambil makanan di sini setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
“Kita berikan makanan yang sudah siap dimasak untuk juadah tengah hari dan malam,” katanya kepada Astro AWANI.
Setiap hari mereka menyediakan kira-kira 300 bungkus makanan dan diedarkan di Wisma Tanah Aina, Shah Alam bermula pukul 11 pagi untuk makan tengah hari dan pukul 6 petang untuk makan malam.
Sebelum ini, ramai datang untuk mengambilnya namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jumlahnya semakin berkurang.
“Ramai di luar sana nak ambil makanan tapi mereka tak boleh keluar kerana PKPD dan segala macam halangan. Ini yang saya rasa tidak adil kepada rakyat yang susah.
“Kadangkala mereka nak datang dari Klang dan Petaling Jaya ke Shah Alam agak susah. Kalau mereka nak ambil pengangkutan seperti Grab dan Lalamove, mereka kena bayar pula.
“Saya rasa kadangkala harga pengangkutan itu lebih mahal daripada harga mereka nak makan. Ini adalah salah satu kesusahan yang mereka hadapi,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan dapat melonggarkan segalanya dengan segera dan\ mempercepatkan proses vaksinasi agar COVID-19 dapat segera dikawal.
Sementara itu, Sharifah Sabrina berkata, pemberian makanan percuma di Shah Alam akan tamat pada 15 Julai ini kerana mereka mahu meneruskan usaha yang sama di Bentong, Pahang.
“Kita ini manusia biasa. Kalau kita tengok ada rakyat susah, mana-mana manusia yang susah, kita patut tolong. Itulah yang sepatutnya,” katanya.
Mereka yang terkesan boleh menghubungi Tanah Aina Cafe melalui pelbagai platfom untuk mendapatkan makanan percuma.
#PKPD
#sekatan pergerakan penuh
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#shah alam
#Tanah Aina
#Klang
#Petaling Jaya
#rakyat Malaysia
#makanan percuma
#sedekah
#Shariffa Sabrina
#negara
#lapar