KIAR dilaksanakan serta-merta di 22 ILKBS seluruh negara
Bernama
September 11, 2022 04:20 MYT
September 11, 2022 04:20 MYT
NILAI: Modul Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) bagi pelajar Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) di 22 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), akan dilaksanakan serta-merta.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata modul itu bertujuan memupuk prinsip tidak bertoleransi dan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah, di segenap peringkat.
"Kerjasama ini melibatkan pelaksanaan KIAR bagi aliran pendidikan teknikal dan latihan Vokasional di 22 ILKBS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kerjaya ILKBS Zon Tengah di sini, pada Ahad.
Ahmad Faizal berkata KBS komited mendidik pelajar agar terhindar daripada aktiviti rasuah dan dapat memenuhi permintaan pasaran kerja.
Ahmad Faizal berkata sebelum ini modul berkenaan ditawarkan sebagai subjek elektif peringkat Sijil, Diploma dan Sarjana Muda, di semua institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun ini, seterusnya diperkasa untuk ditawarkan sebagai kursus mata pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai tahun hadapan.
Mengulas mengenai festival pekerjaan ILKBS, beliau berkata ia bagi mengalakkan pembabitan belia dalam pasaran kerja, seiring usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara seterusnya memperkasakan pendapatan isi rumah khususnya golongan asnaf, B40 dan M40.
Ahmad Faizal berkata terdapat 1,280 kekosongan jawatan ditawarkan, membabitkan 23 industri dalam pelbagai sektor pada kali ini dan para belia turut didedahkan dengan peluang latihan di 22 institusi TVET dalam 14 bidang kemahiran.
"Kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030. Kebolehpasaran graduan TVET juga melebihi 90 peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut," katanya.
-- BERNAMA