Khutbah khas: Peranan penting YDPA lestari perpaduan, pastikan pentadbiran negara terurus

Madiha Abdullah
Julai 19, 2024 15:10 MYT
Istiadat pertabalan menjadi lambang signifikan kepada sistem Raja Berpelembagaan dan menjulang tinggi kedudukan baginda sebagai payung negara.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong berperanan penting dalam mewujud dan melestarikan perpaduan rakyat serta memastikan pentadbiran negara berada di landasan yang betul demi memelihara kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Sabtu, menjadi lambang signifikan kepada sistem Raja Berpelembagaan dan menjulang tinggi kedudukan baginda sebagai payung negara.
Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni, dalam bacaan Khutbah Khas sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 17, bertajuk "Raja Ditaati, Negara Dirahmati" berkata, hubungan raja dan rakyat ibarat umpama pohon dan akar yang saling memerlukan.
"Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan kerana kita telah berada dalam institusi ini dengan acuan kita sendiri.
"Apatah lagi, dengan peranan Baginda yang bertindak sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Manakala di negeri-negeri lain, Ketua Agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.
"Rakyat dapat hidup aman damai dengan sistem ini tanpa kekacauan atau haru-biru kerana kita percaya bahawa kita mempunyai seorang raja berdaulat yang merupakan pemerintah tertinggi negara kita bergelar Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Tambahnya, istiadat pertabalan ini sangat penting untuk mengukuhkan kesetiaan rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan, dan Yang di-Pertuan Agong termasuk dalam Ulil Amri atau pemimpin yang wajib ditaati seperti yang difirmankan Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 59.
"Ayat ini mengandungi perintah asas iaitu kewajipan taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagaimana dihuraikan oleh Ahmad bin Mustafa al-Maraghi memberikan makna yang lebih umum untuk ulil amri, iaitu para pemimpin negara berserta seluruh jajarannya, ulama, panglima perang dan setiap pemimpin atau orang yang menjadi rujukan manusia berkait permasalahan hidupnya," katanya lagi.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bakal berlangsung pada Sabtu di Istana Negara.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula pada Khamis dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, diikuti Khutbah Jumaat Khas, hari ini.
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #khutbah jumaat khas #Pertabalan
;