KHSB tawar 2,340 unit teres di bawah projek Rumah Selangorku di Bernam Jaya
Bernama
Mei 3, 2024 18:30 MYT
Mei 3, 2024 18:30 MYT
HULU SELANGOR: Sebanyak 2,340 unit rumah teres akan dibangunkan di bawah projek Rumah Selangorku berskala besar pertama di negeri ini dikenali sebagai Lagenda Ardea, dengan jangkaan siap pada 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Rahana Abdullah berkata pembangunan unit perumahan itu yang melibatkan kawasan seluas lebih 77 hektar di Bernam Jaya di sini, melibatkan kerjasama dengan syarikat pemaju Lagenda Properties Berhad.
"Ini menunjukkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan perumahan yang semakin meningkat. Kami bukan hanya akan membangunkan struktur bangunan tetapi bertekad menjadikan Lagenda Ardea sebagai komuniti yang mampan dan berdaya huni," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Rumah Selangorku Lagenda Ardea di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi KHSB Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Lagenda Properties Berhad Laksamana (B) Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Fasa pertama Lagenda Ardea melibatkan pembangunan 831 unit rumah teres setingkat dengan tiga bilik dan dua bilik mandi, dengan permohonan boleh dibuat di laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di bawah perkhidmatan Sistem Pendaftaran Rumah Selangorku
Selain itu, Rahana berkata pembangunan Lagenda Ardea selari dengan Rancangan Selangor Pertama iaitu menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025.
Menurutnya sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang bernaung di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated, KHSB merupakan satu daripada agensi pelaksana negeri dalam aktiviti berkaitan ekonomi dan perniagaan khususnya dalam sektor hartanah.
Sementara itu, Amirudin berkata pembinaan rumah Projek Selangorku di kawasan itu menunjukkan nilai pasaran yang baik selepas 60 peratus projek rumah berkenaan telah mendapat permohonan sebelum ia dilancarkan bulan ini.
"Dalam pada itu, pihak kita sedang menilai beberapa cadangan yang melibatkan kawasan pelancong di kawasan ini, selain bersedia untuk mencari (sebarang projek) atau pemacu projek di kawasan ini, antaranya yang membabitkan pembinaan institusi persekolahan dan pengajian.
"Sudah pasti kita juga mengambil manfaat daripada Bandar Proton yang terletak sekitar 15 kilometer (km) dari sini. Sebenarnya banyak cadangan telah dikemukakan untuk menjadi elemen pamacu dan saya pasti ia akan memberikan nilai tambah kepada kawasan ini," katanya.
Selain itu, pembinaan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Serendah yang terletak sekitar 20km dari tapak projek perumahan itu juga dilihat dapat memberi kelebihan kepada projek perumahan tersebut.
-- BERNAMA