Kho Jabing digantung pada 3.30 petang di Singapura
Bernama
Mei 20, 2016 21:07 MYT
Mei 20, 2016 21:07 MYT
Rakyat Malaysia yang disabit dengan kesalahan membunuh, Kho Jabing, menjalani hukuman gantungnya pada 3.30 petang tadi di Kompleks Penjara Changi di sini.
"Jabing jalani hukum mati sekarang...sama-samalah kita berdoa agar rohnya tenang dan Tuhan membawa Jabing ke syurga," kata adik perempuannya, Jumai Kho, dalam catatannya di laman Facebook beliau.
Jabing dari Miri, Sarawak, hari ini gagal dalam usaha mengetepikan pelaksanaan hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan yang dilakukannya pada saat-saat akhir.
Jumai Kho memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri.
Jabing, yang menganuti agama Kristian sebelum ini, memeluk Islam ketika di dalam penjara dan memilih Muhammad sebagai nama baharunya.
Hukuman gantung Jabing sepatutnya dilakukan pada subuh hari ini tetapi peguambelanya berjaya memperoleh penangguhan sementara pelaksanaan hukuman itu lewat malam tadi.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini sedang berurusan dengan kerajaan negeri sarawak bagi membawa pulang jenazah Jabing esok.
Dalam catatan terbaharunya, Jumai menulis bahawa selepas pelaksanaan hukuman itu, jenazah Jabing dibawa ke sebuah hospital di sini.