KHM bagi memenuhi aspirasi rakyat

Bernama
Julai 27, 2019 07:00 MYT
Gobind Singh Deo menegaskan tanggungjawab berat menunggu calon yang dipilih menganggotai jawatankuasa KHM. - Foto BERNAMA
Komuniti Harapan Malaysia (KHM) yang ditubuhkan akan dipertanggungjawabkan untuk membantu menyampaikan maklumat kerajaan dan memenuhi aspirasi rakyat serta mengimarahkan semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
Dalam hal ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan tanggungjawab berat menunggu calon yang dipilih menganggotai jawatankuasa KHM berkenaan.
"Ahli jawatankuasa KHM menggalas tanggungjawab besar dalam membantu mengumpul segala maklum balas mengenai harapan, aspirasi serta isu-isu yang dihadapi komuniti setempat.
"Ini penting supaya maklumat dari bawah sampai kepada kerajaan untuk membolehkan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani dan memenuhi harapan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Program Merdeka@Komuniti Peringkat Negeri Perak 2019 di Jelapang di sini, pada Sabtu.
Gobind berkata 1,428 KHM disasar ditubuhkan di seluruh negara dan sehingga kini 658 KHM telah diluluskan penubuhannya dalam fasa pertama manakala fasa seterusnya dibuat secara berperingkat.
"Sebanyak 142 KHM akan ditubuhkan di Perak dengan jangkaan keahlian 7,000 orang," kata menteri itu.
Gobind menjelaskan berdasarkan kertas perancangan, KHM akan dibentuk dengan sekurang-kurangnya 50 orang dari komuniti setempat terdiri daripada 15 ahli jawatankuasa yang akan mentadbir dan 35 orang lagi sebagai ahli biasa.
Beliau menarik perhatian bahawa pelaksanaan KHM sebagai rakan strategik kerajaan melalui platform yang disediakan Jabatan Penerangan turut menjadi medium bagi menyemai dan memupuk semangat perpaduan serta toleransi dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
"Dengan wujudnya rakan strategik antara rakyat dan kerajaan ini, ia pasti membawa kepada pencapaian pembangunan negara yang mampan kerana mendapat sokongan padu daripada komuniti di peringkat akar umbi," kata Gobind.
-- BERNAMA
#Gobind Singh Deo #kerajaan #Komuniti Harapan Malaysia #Menteri Komunikasi dan Multimedia #perpaduan #rakyat
;