Khir Toyo dapat remitan empat bulan - KDN

Astro Awani
Mac 30, 2016 16:36 MYT
Mohamad Khir diberi parol bermula Selasa selepas menjalani hukuman selama enam bulan di Penjara Kajang. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menjelaskan bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mendapat remitan empat bulan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sehingga 29 Mei 2016.
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan turut berkata Mohamad Khir diparolkan untuk menjalani baki hukuman penjara selama dua bulan di luar penjara sehingga tarikh pembebasan hukuman
Mohamad Khir diberi parol bermula Selasa selepas menjalani hukuman selama enam bulan di Penjara Kajang.
"Seseorang banduan layak mendapat remitan iaitu satu pertiga daripada jumlah hukuman sekiranya Jabatan Penjara Malaysia berpuas hati dengan tahap pemulihan banduan semasa menjalani hukuman di penjara.
“Dalam konteks ini, Mohamad Khir dijatuhi hukuman 12 bulan penjara yang bermula pada 29 September 2015 dan sepatutnya berakhir 28 September 2016.
“Beliau mendapat remitan empat bulan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan menjalani hukuman penjara sehingga 29 Mei 2016,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambahnya, Mohamad Khir tertakluk kepada Perintah Parol yang menggariskan 27 syarat yang antaranya mengkehendaki beliau: Permohonan bekas MB Selangor itu diluluskan Lembaga Parol selepas mengadakan mesyuarat pada pagi Selasa.
Beliau dihukum penjara 12 bulan selepas didapati bersalah oleh hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Keputusan itu dibuat pada akhir kes pembelaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pelaksanaan Perintah Parol yang pertama membabitkan seramai 64 orang banduan pada 26 Julai 2008. Sejak sistem parol dilaksanakan sehingga 14 Mac 2016, seramai 12,550 banduan telah dibenarkan menjalani parol di luar penjara.
#bekas MB selangor #Mohamad Khir Toyo bebas dengan parol dari Penjara Kajang mulai Selasa #Rasuah #wira mohtarudin baki #zaharah kechik
;