Khilaf dalam kalangan ulama adalah 'rahmat' jika dikawal dan dijaga - Anwar

Abd Hadi Che Awang
Mei 3, 2024 23:56 MYT
Anwar berkata, penerimaan kepada pandangan yang berbeza merupakan amalan yang sihat dalam memberikan orang ramai kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara. - Astro AWANI
KANGAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa perbezaan pendapat atau khilaf dalam kalangan ulama boleh menjadi satu 'rahmat' dan membawa kebaikan sekiranya ia dikawal dan dijaga dengan baik sekali gus menghindari pergeseran dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, amalan ketika pentadbiran 'khalifah' sebelum ini juga telah mengizinkan perkara itu berlaku dengan perlaksanaan wacana yang meluas, dan mendengar setiap pandangan yang dikemukakan golongan ulama.
Tambahnya, penerimaan kepada pandangan yang berbeza juga merupakan satu amalan yang sihat dalam memberikan orang ramai kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara serta mewujudkan mentaliti syumul terhadap ajaran Islam itu sendiri.
"Saya ingat khilaf dalam kalangan ulama boleh jadi rahmat kalau dijaga dan dikawal supaya jangan jadi pengeseran yang memecahkan, ini harus ada.
"Dunia Islam semasa zaman hebatnya, mengizinkan wacana yang meluas iaitu (bukti kewujudan) baitul hikmah di mana khalifah mendengar pandangan berbeza, pergelutan (ilmu dalam kalangan) ulama berlaku di hadapan khalifah... Ia diizinkan.
"Kita harus bawa semangat sedemikian yang tidak membebankan rakyat untuk bercelaru (terhadap satu-satu isu) tetapi untuk membawa pencerahan. Bagaimana (mahu) ada islah, bagaimana (mahu) ada reform kalau tidak ada perbahasaan... yang mana pendekatan itu adalah yang baik."
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi Kangar, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut mengingatkan agar pemimpin negara Islam perlu mempunyai sifat berani dalam menegur dan menyatakan pendirian dalam isu melibatkan rakyat Palestin ketika ini.
Tegas beliau, suara pemimpin-pemimpin yang terlibat perlu terus kedengaran dalam menghalang perbuatan rejim Zionis yang berterusan membunuh rakyat Palestin terutama di Gaza.
#Anwar Ibrahim #ulama #Khilaf #beza pandangan
;