Khidmat jagaan anak-anak di Hospital Shah Alam sebagai sokongan kepada barisan hadapan

Fauzi Suhaimi
November 3, 2020 13:37 MYT
Irmohizam (tengah) berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu dan meringankan beban ditanggung barisan hadapan khususnya dalam soal kebajikan anak-anak. - Foto Hospital Shah Alam
KUALA LUMPUR: Prihatin dengan nasib anak-anak petugas barisan hadapan yang sedang berjuang menghadapi pandemik COVID-19, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Shah Alam tampil menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang diwujudkan di hospital itu.
Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Shah Alam, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu dan meringankan beban ditanggung mereka khususnya dalam soal kebajikan anak-anak.
Menurutnya, usahasama itu juga digerakkan dengan bantuan Persatuan Taska Selangor dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dalam norma baharu.
"Program ini merupakan inisiatif bersama di antara kami bersama dengan kepimpinan hospital diketuai pengarah hospital dalam menyelami dan membantu anak-anak petugas barisan hadapan yang bekerja di hospital ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Antara usaha yang dilakukan adalah bagi meringankan beban mereka yang dilakukan secara bersama dengan pihak hospital dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Menerusi usaha itu, kami turut menyedia bantuan berupa makanan untuk memastikan soal kebajikan anak-anak dan pihak terlibat dijaga selain membolehkan petugas barisan hadapan menumpukan perhatian kepada usaha mengekang jangkitan COVID-19," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Dalam pada itu, Irmohizam berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan hospital berkenaan mesra ibadah dan NGO.
"Selain fungsi hospital ini menumpukan kepada elemen kesihatan, namun kami berhasrat untuk mewujudkan suasana keagamaan dan terbuka kepada NGO dalam melakukan program atau bantuan ketika pandemik ini," ujarnya.
#COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Kanak-kanak #kesihatan #Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Shah Alam Datuk Seri Dr #perkhidmatan penjagaan kanak-kanak
;