Khidmat ETS KL-Padang Besar ditambah sempena Raya

Tan Su Lin
Julai 10, 2015 23:56 MYT
KTMB akan menambah bilangan tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Padang Besar sempena Aidilfitri.
Untuk menampung permintaan yang uinggi khususnya sempena sambutan Aidilfitri minggu depan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah bilangan tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar.
Menurut Presidennya, Sarbini Tijan keretapi tambahan yang akan diperkenalkan tiga hari sebelum dan selepas hari raya dapat menampung tambahan 720 tempat duduk sehari.
"Untuk mengurangkan kesesakan juga KTMB akan perkenal keretapi tambahan di antara KL ke Padang Besar iaitu tiga hari sebelum raya mulai 13 Julai dan kita akan ada juga lagi perkhidmatan dari Padang Besar ke Kuala Lumpur tiga hari selepas raya.
"Maknanya tiga hari sebelum dan tiga hari selepas. Jadi itu adalah tambahan sebanyak 360 kerusi untuk sehari, maknanya pergi balik ada sejumlah 720 lagi kerusi tambahan." kata Sarbini ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Album Raya Lebaran Suria dan Berbuka Puasa Warner Music, Suria FM dan KTM Komuter di ibu negara pada Jumaat.
Tambahnya, khidmat ETS ekspres dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan bermula Sabtu.
Pada masa sama, keretapi ETS transit sedia ada juga diteruskan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar di mana penumpang akan menukar tren di Ipoh dan kemudiannya di Butterworth sebelum tiba ke destinasi akhir, Padang Besar.
"Kalau ikutkan rancangan awal memang kami bercadang untuk memulakan khidmat keretapi ETS ekspres untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar pada bulan September tetapi memandangkan permintaan yang tinggi menjelang hari raya Aidilfiltri akan datang, maka kami sebagai organisasi yang peka dengan kehendak orang ramai, kita cuba memenuhi keperluan itu," kata Sarbini.
Jadual perkhidmatan ETS ekspres dari Kuala Lumpur ke Padang Besar itu melibatkan perjalanan sebanyak dua kali sehari dengan setiap perjalanan dijangka mengambil masa kurang daripada lima jam.
#Aidilfitri #ETS #kereta api #Sarbini Tijan