Khidmat Boateng terpaksa dilupakan

Bernama
Januari 17, 2013 15:57 MYT
Pasukan T-Team terpaksa melupakan khidmat import George Boateng dalam mengharungi saingan Liga Super menentang Selangor PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini petang esok.
Bekas pemain antarabangsa Belanda itu, terpaksa diketepikan gara-gara mengalami kecederaan di pangkal paha ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selasa lepas.
Ketua jurulatihnya Peter James Butler, berkata pasukannya tentu sekali akan merasai kehilangan pemain berpengalaman itu yang mengemudi jentera tengah dengan baik sepanjang saingan awal Liga Super ini.
"Kami banyak bergantung kepada Boateng terutama dalam memastikan jentera tengah dapat bergerak dengan baik. Ia terbukti apabila kami mencatat kemenangan ke atas Kelantan minggu lalu.
"Semasa menentang ATM tempoh hari, selepas Boateng mengalami kecederaan, kelihatan bahagian tengah kami kurang berfungsi dengan baik tanpa beliau sehingga ATM menjaringkan tiga gol. Bagaimanapun, semua itu akan menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain kami," katanya.
Butler berkata kecederaan yang menimpa Boateng telah membuka peluang kepada bekas pemain Sime Darby FC, Badrul Hisham Morris, dan bekas pemain Harimau Muda B, Mohd Naim Zakaria untuk menunjukkan kebolehan mereka.
Katanya, kedua-dua pemain tengah itu mempunyai kebolehan untuk mengambil tempat yang dikosongkan Boateng dan apa yang mereka perlukan dalam perlawanan menentang Selangor PKNS adalah keyakinan dalam diri menggalas tugas diberikan semasa perlawanan kelak.
"Saya tahu semua pemain, berkebolehan bermain bola sepak di peringkat tertinggi dan percaya mereka mampu bermain dengan lebih cemerlang sekiranya mempunyai kepercayaan serta keyakinan diri," katanya.
Jelasnya nasib tidak menyebelahi pasukan apabila beberapa pemain utama Butler masih belum dapat diturunkan akibat mengalami kecederaan dan penggantungan.
Sebagai contoh, katanya, penjaga gol utama, Iqbal Suhaimi, perlu menjalani hukuman gantung dua perlawanan lagi sementara pemain pertahanan G. Mahathevan dan pemain tengah Pritam Singh dan Fazuan Abdullah, belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
"Bagaimanapun, pemain pertahanan, Marzuki Yusof, yang hampir pulih daripada kecederaan lututnya, sudah boleh berada di bangku simpanan buat pertama kali semenjak menyertai T-Team akhir tahun lalu," katanya.
#cedera pangkal peha #George Boateng