Khidmat bas perantara percuma dijangka kurangkan kesesakan di Parlimen
Hasimi Muhamad
Februari 20, 2023 10:30 MYT
Februari 20, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen yang bermula hari ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan, sekali gus memberi kemudahan kepada kakitangan Parlimen.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata setiap hari sekurang-kurangnya 2,000 kenderaan memasuki bangunan Parlimen dengan jumlah parkir yang disediakan hanya kurang 500 lot.
Selain itu, penyediaan perkhidmatan itu juga, kata Loke, bagi menggalakkan orang ramai termasuk pengamal media dan Ahli Parlimen untuk menggunakan pengangkutan awam.
"Seperti saya cakap dua minggu lalu kita nak mulakan perkhidmatan ini sebagai alternatif untuk warga Parlimen datang ke Parlimen termasuk Ahli Parlimen, kakitangan dan ramai pegawai kementerian yang bertugas ketika sidang Dewan Rakyat termasuk rakan media.
"Ini memberi kesan kepada warga yang bertugas di Parlimen termasuk media dan pegawai yang terpaksa beratur panjang setiap pagi untuk memasuki Parlimen, yang mana kadang-kadang hampir satu jam untuk masuk sahaja.
"Jadi kita nak memudahkan kepada pegawai dan media kerana kita faham hari sebelumnya bertugas sehingga lewat malam ini sudah tentu menjejaskan kualiti hidup masing-masing," katanya ketika melancarkan perkhidmatan tersebut di KL Sentral, hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata perkhidmatan bas perantara percuma itu melibatkan kos sebanyak RM800 sehari bagi sebuah bas, dan disediakan sepanjang persidangan Dewan Rakyat.
Jelas beliau lagi, mereka yang menggunakan bas perantara tidak perlu beratur sebaliknya hanya berhenti untuk mengambil pas keselamatan sebelum memasuki bangunan Parlimen.
Loke menambah sebanyak dua bas akan disediakan setiap hari bermula pada jam 8 pagi hingga 10 pagi dengan kekerapan setiap 30 minit.
Dengan jarak sejauh lima kilometer (km), bas perantara percuma ini bergerak dari KL Sentral ke Taman Botani sebelum ke bangunan Parlimen.