Khidmat Abdul Wahid sebagai senator, menteri tamat 4 Jun - Najib

Astro Awani
Mei 27, 2016 10:55 MYT
Abdul Wahid akan terus kekal sebagai Ahli Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. - Gambar fail
Tempoh perkhidmatan Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan ahli Dewan Negara akan tamat pada 4 Jun ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau telah menerima keputusan Abdul Wahid untuk kembali ke sektor korporat.
Keputusan itu juga telah pun dimaklumkan kepada kabinet.
"Saya menerima keputusan YB Senator Datuk Seri Abdul Wahid untuk kembali ke sektor korporat sebagaimana yang dipersetujui pada tahun 2013.
"Namun begitu, YB Senator Datuk Seri Abdul Wahid akan terus kekal sebagai Ahli Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh saya pada setiap minggu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Wahid telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara bagi penggal pertama pada 5 Jun 2013.
Beliau kemudian dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi.
Sebelum itu Abdul Wahid merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank.
#Abdul Wahid Omar #Majlis Ekonomi Negara #Maybank #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Najib Razak #Perdana Menteri