Khianat tumbuk cermin kereta, Chee Peng didenda RM1,500

Shuhada Abdul Kadir
Disember 27, 2019 16:39 MYT
Lim Chee Peng didakwa melakukan khianat dengan meretakkan cermin kereta Proton Iswara kepunyaan seorang individu dalam kejadian di Jalan Datuk Ghani Ali, Bukit Baru sekitar pukul 9.50 pagi pada 3 Januari lalu. - Gambar Astro AWANI
Akibat melakukan khianat dengan menumbuk cermin hadapan kereta kenalannya, seorang jurujual gas cecair petroleum (LPG) didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Tertuduh, Lim Chee Peng, 43, dijatuhi hukuman itu sejurus membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan meretakkan cermin kereta Proton Iswara kepunyaan seorang individu dalam kejadian di Jalan Datuk Ghani Ali, Bukit Baru sekitar pukul 9.50 pagi pada 3 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakuka kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperunukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan perlu menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon agar hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakan.
#didenda #jurujual gas cecair petroleum #Khianat tumbuk cermin kereta #Mahkamah Majistret Ayer Keroh
;