Khianat dan bakar kereta polis, lelaki mabuk ditahan
November 2, 2019 16:48 MYT
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membakar sebuah kereta Toyota Vios milik pegawai polis di tepi jalan di Kampung Hilir di sini pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 33 tahun ditangkap selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 11 malam.
Menurutnya, mangsa merupakan seorang pegawai polis dari Dalat meletakkan keretanya di tepi jalan kerana mengalami kerosakan.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian kebakaran kereta itu merupakan perbuatan khianat dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang mabuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba yang menerima panggilan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran tetapi api sudah membakar sepenuhnya bahagian enjin kereta Toyota Vios tersebut.
Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 5 November ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana membakar kenderaan.