Khemah peniaga melambung diterbangkan ribut di Alor Setar
Adie Sufian Zulkefli
Julai 1, 2020 18:20 MYT
Julai 1, 2020 18:20 MYT
Hujan lebat berserta angin ribut selama 20 minit menerbangkan payung serta barangan peniaga di sekitar Jalan Langgar dan Jalan Tun Razak di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku dengan pantas sehingga peniaga tidak sempat barang jualan mereka.
Bagi peniaga Ramli Saad, 34, ketika kejadian dia hanya mampu memeluk payung untuk mengelaknya terbang sementara barangan lain diterbangkan angin tanpa sempat diselamatkan.
Dia yang telah berniaga lebih 10 tahun di Jalan Tun Razak tergamam melihat kejadian ribut seumpama ini yang pertama kali dilaluinya.
"Habis semua khemah patah sehinggakan ada sebuah khemah lain melambung mendekati saya dan ada yang dibawa ribut hingga 200 hingga 300 meter atas jalan," katanya berkongsi pengalaman yang mendebarkan itu.
Bagi Ahmad Yusaini Affiat, 52, pula, hampir separuh daripada kuih-muih jualannya tidak sempat diselamatkan akibat diterbangkan ribut.
Katanya, ketika itu tiada apa yang sempat difikirkannya selain bergegas berlari ke bangunan rumah kedai yang terletak di hadapan gerainya untuk berlindung di situ.
"Awalnya tidak nampak begitu kuat (ribut) tetapi lepas 15 minit semakin tiupannya, payung-payung (peniaga) rosak," kata Ahmad Yusaini.
Sementara itu, laungan azan oleh Mohd Fatullah Shahidan, 31, membantu meredakan ribut.
Ketika kejadian, dia berkata, terdapat tiga orang pelangan di gerainya turut sama membantu menutup kuih-muih jualalannya daripada dibasahi air hujan.
"Oleh kerana takut saya laungkan azan, Alhamdulillah sedikit reda ribut tetapi hujan lebat pula turun dengan guruh," ujarnya.
Ribut yang disifatkan mereka sebagai 'luar biasa' berlaku dengan pantas dan keadaan sekeliling menjadi kelam sehingga ada di antara pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan mereka ekoran tidak dapat memandu kerana tidak nampak jalan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, kejadian ribut yang berlaku selama 20 minit itu telah mengakibatkan beberapa gerai dan garaj kereta mengalami kerosakan selepas diterbangkan angin.
Anggota APM juga, katanya, telah dikejarkan ke lokasi yang terjejas bagi membantu mangsa mengemas serta membaiki kerosakan selepas diterbangkan angin.
Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang, tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan.