Khemah Bazar Aidilfitri Pekan Rabu Langkawi terbakar
Adie Sufian Zulkefli
April 17, 2021 15:07 MYT
April 17, 2021 15:07 MYT
LANGKAWI: Belum sempat memulakan operasi, khemah yang dijadikan sebagai Bazar Aidilfitri di Pekan Rabu, di sini, terbakar pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sekitar pukul 11.11 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Langkawi di kejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi kelihatan api sedang marak dan menyambar dengan cepas kanvas khemah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut beliau, api berjaya dikawal daripada merebak ke khemah lain dalam tempoh lima minit.
“Kebakaran melibatkan empat buah khemah berukuran 20 X 20. Dua buah khemah melibatkan peralatan perniagaan dan dua khemah kosong,” ujar beliau.
Mohamadul Ehsan memaklumkan, peratusan kebakaran dua khemah yang mempunyai peralatan dianggarkan 90 peratus manakala dua khemah kosong dianggarkan 50 peratus.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.