Khemah, alatan niaga 'terbang'

Sinar Harian
Jun 2, 2018 02:31 MYT
Khemah diterbangkan angin ketika ribut kuat melanda Kuala Terengganu, malam tadi. Foto Sinar Harian / Ihsan pembaca
Ribut melanda Dataran Shahbandar dan Pantai Batu Burok kira-kira jam 9 malam tadi menyebabkan khemah 'diterbangkan' angin menyebabkan kesesakan trafik di Jalan Sultan Mahmud, di sini.
Selain itu, kejadian yang berlaku ketika umat Islam menunaikan solat tarawih itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa laluan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam Abdul Rahman berkata, sehingga pagi ini, sebanyak empat kes melibatkan pokok tumbang diterima.
Antaranya, dua kes di Kampung Atas Tol, satu kes di Kg Tanjung Sabtu, Manir dan berhadapan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak.
"Kesemua kes termasuk khemah diterbangkan angin di Batu Burok juga telah dalam tindakan pihak berkuasa bagi memastikan dan menyegerakan kelancaran trafik di laluan terlibat," katanya.
Menurutnya, ribut melanda dalam tempoh singkat, namun, angin kencang semalam berlaku di sebahagian besar negeri iaitu di Setiu, Marang, Kemaman dan Dungun.
Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Bagi kejadian di Dataran Shahbandar ia hanya menyebabkan kecederaan ringan dan individu terbabit difahamkan telah mendapatkan rawatan," katanya.
BACA: Pokok tumbang, khemah peniaga musnah akibat angin kencang
Dalam pada itu, Che Adam menasihatkan orang awam supaya lebih peka terhadap perubahan cuaca dalam kesibukan membeli belah di kawasan terbuka seperti di Dataran Shahbandar.
"Lewat petang hingga malam ini juga dijangka berlaku hujan dalam tempoh sehari dua lagi.
"Langkah ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku dan keselamatan awam terjamin," katanya.
Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, implikasi perubahan angin Monsun Barat Daya bermula semalam.
"Keadaan itu menyebabkan berlaku pengumpulan awan pada lewat petang hingga ke malam menyebabkan berlaku hujan dan ribut di kawasan pantai timur dan sedikit kawasan pantai barat.
"Ia dijangka berlaku hingga pertengahan bulan ini," katanya.
#angin #angkatan pertahanan awam #APM #Beli belah #Che Adam Abdul Rahman #Dataran Shahbandar #kawasan terbuka #keselamatan #Khemah #Pantai Batu Burok #peniaga #Pokok tumbang #ribut #terengganu #trafik