Khazanah raih RM735.7 juta hasil penempatan saham Telekom Malaysia

Bernama
Mei 22, 2020 10:24 MYT
Khazanah berkata dana domestik berjangka panjang, pelabur institusi asing serta pelabur institusi sedia ada telah mengambil bahagian dalam penempatan saham ini.
Khazanah Nasional Bhd mengumumkan kejayaannya menempatkan 172.3 juta saham Telekom Malaysia Berhad (TM) pada harga RM4.27 sesaham, sekali gus meraih hasil berjumlah RM735.7 juta daripada urus niaga tersebut.
Harga penempatan mewakili diskaun 3.61 peratus pada harga penutup pasaran bagi saham TM yang bernilai RM4.43 pada 21 Mei, merupakan penempatan berkaitan sektor telekomunikasi terbesar di Malaysia dan ketiga terbesar di ASEAN pada tahun ini.
"Penempatan saham ini merupakan sebahagian daripada usaha penyusunan semula keseluruhan portfolio Khazanah, dengan hasil daripadanya akan digunakan untuk pelaburan baharu pada masa depan serta usaha pemelbagaian peruntukan aset Khazanah," menurut dana kekayaan negara itu dalam kenyataan di sini pada Khamis.
"Dengan permintaan kukuh pasaran bagi saham mewah tempatan, penempatan saham ini membolehkan Khazanah meningkatkan apungan bebas dan daya tarikan saham TM sebagai pelaburan."
Katanya dana domestik berjangka panjang, pelabur institusi asing serta pelabur institusi sedia ada telah mengambil bahagian dalam penempatan saham ini.
"Pelabur institusi domestik mewakili sebahagian besar pembeli utama," katanya.
CIMB dan Credit Suisse adalah pengatur bersama penempatan saham ini.
-- BERNAMA
#ASEAN #Bursa Malaysia #CIMB #Khazanah #Malaysia #pelaburan #saham #Telekom Malaysia
;