Khazanah, PNB akui pelaburan tidak selari dengan unjuran pulangan FashionValet - Amir Hamzah
Firdaus Azil
November 14, 2024 13:15 MYT
November 14, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengakui bahawa hasil pelaburannya sebanyak RM47 juta, tidak selari dengan unjuran pulangan pelaburan dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd mengakui hasil pelaburan mereka sebanyak RM47 juta dalam FashionValet tidak selari dengan unjuran pulangan pelaburan.
- Walaupun pelaburan tersebut bermasalah, Khazanah dan PNB akan terus menambah baik mekanisme tadbir urus dan tatakelola tanpa menjejaskan komitmen pelaburan mereka dalam syarikat pemula (startups).
- Siasatan SPRM dan audit dalaman masih berjalan, dan dapatan yang dimuktamadkan akan digunakan untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus.
Bagaimanapun, pihak Khazanah dan PNB jelasnya lagi, akan terus menambahbaik mekanisme tadbir urus dan tatakelola masing-masing, dan isu tersebut tidak akan menjejaskan komitmen pelaburannya terhadap syarikat-syarikat pemula (startups).
Memandangkan kes tersebut masih di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan audit dalaman masih berjalan, Amir Hamzah berkata, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk proses siasatan ini diselesaikan, dan dapatan yang dimuktamadkan kelak akan digunakan untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus.
“Walaupun Khazanah dan PNB adalah pelabur minoriti, kedua-dua pihak telah memainkan peranan yang proaktif untuk membantu Fashion Valet, termasuk memberikan bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat.
“Bagaimanapun, impak daripada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh FashionValet terlalu besar, menyebabkan situasi kewangan syarikat semakin parah. Untuk terus beroperasi dan menangani masalah aliran tunai, FashionValet pada waktu itu memerlukan suntikan modal daripada pelabur baharu dengan segera.
“Namun, mereka tidak menerima banyak tawaran daripada pelabur baharu. Tawaran yang diterima ini merupakan tawaran terbaik dan dipersetujui oleh semua pemegang saham,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Dewan Rakyat pada Khamis.
Terdahulu Amir Azizan berkata, pada 2017 kedua-dua Khazanah dan PNB menilai FashionValet untuk potensi pelaburan kerana mempunyai lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk, dengan hasil perniagaan pada tahun 2017 hampir RM60 juta, dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dari tahun 2013 sebanyak lebih 100 peratus.
Katanya lagi, suntikan pelaburan oleh Khazanah dan PNB ke dalam FashionValet digunakan untuk mengembangkan platform Fashion Valet supaya menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan.
Ini, katanya lagi, termasuk menambah bilangan kedai fizikal selaras dengan aspirasi FashionValet untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran (omnichannel), dan membangunkan jenama yang dimiliki sepenuhnya oleh mereka
Amir Hamzah berkata, FashionValet juga telah mencatatkan pulangan tunai positif (atau lebih dikenali sebagai EBITDA) untuk beberapa tahun selepas menerima pelaburan daripada Khazanah dan PNB.
Namun jelas beliau, keadaan mula berubah apabila syarikat itu dilanda cabaran besar, termasuk implikasi COVID-19, perubahan trend platform fesyen e-dagang hingga memaksa FashionValet menutup platform dan memberi fokus kepada jenama sendiri iaitu dUCk dan LILIT, selain mengalami cabaran pengumpulan dana.
Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, isu FashionValet tidak akan menjejaskan keinginan Khazanah untuk terus melabur dalam syarikat pemula.
“Pelaburan modal teroka (VC) masih kekal dalam mandat Khazanah dan Khazanah akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambahbaik mekanisme kawalan.
“Khazanah telah menyediakan suatu dana khusus melalui Dana Impak dengan tujuan melabur bagi meningkatkan daya saing ekonomidan membina daya tahan negara, sambil menghasilkan manfaat dan impak sosioekonomi kepada rakyat, terutamanya untuk syarikat pemula dan modal teroka,” jelasnya lagi.