Khazanah Nasional lancar #BerbudiBersama sempena 30 tahun majukan Malaysia

Israr Khalid
Mac 9, 2024 07:20 MYT
Perasmian inisiatif #BerbudiBersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan disaksikan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Meraikan 30 tahun peranannya memacu pertumbuhan Malaysia yang menyeluruh, Khazanah Nasional melancarkan inisiatif #BerbudiBersama, siri program jangkauan komuniti yang akan berlangsung di seluruh negara.
Menerusi inisiatif itu, Khazanah, entiti gabungannya dan syarikat berkaitan Khazanah (KLC) bermatlamat untuk mempererat hubungannya dengan masyarakat, menggalakkan kerjasama yang lebih besar dan penciptaan impak untuk Malaysia yang lebih sejahtera.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal berkata, #BerbudiBersama tidak hanya sekadar sebuah keraian tiga dekad wujudnya Khazanah, tetapi inisiatif ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam memupuk semangat perpaduan dan kerjasama di negara ini.
“Dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan di seluruh negara, kami berhasrat untuk memperkasakan komuniti, meraikan warisan yang dikongsi bersama dan mencipta impak positif yang berkekalan untuk semua rakyat Malaysia.
“Kami berasa gembira untuk memulakan perjalanan ini dan percaya bahawa melalui usaha bersama, kita mampu membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa lebih RM2.2 bilion telah dibelanjakan untuk sekitar 600 program dalam pelbagai bidang secara menyeluruh, melibatkan hampir 500 rakan kerjasama di seluruh negara.
Jelasnya, ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih daripada 2.4 juta penerima manfaat dari pelbagai segmen masyarakat Malaysia, termasuk kanak-kanak, belia dan wanita.
“Kami komited untuk meneruskan sumbangan kami ke arah kemakmuran ekonomi dan pengukuhan nilai sosioekonomi untuk semua rakyat Malaysia.
“Sempena ulang tahun ke-30 ini, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan kami dan berbesar hati mengiktiraf semangat, sokongan dan perkongsian visi mereka dalam memastikan kemajuan yang mampan untuk Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian inisiatif #BerbudiBersama yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bertempat di Taman Tugu Lawn, di sini pada Sabtu.
Program jangkauan komuniti di seluruh negara tersebut memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dan kumpulan pendapatan, menyampaikan pelbagai aktiviti seperti peluang peningkatan kemahiran, sesi celik kewangan, bimbingan keusahawanan dan bengkel pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan dan lain-lain.
Turut hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah Khazanah dan Amanah Warisan Negara (AWAN), dan perwakilan utama lain dari Yayasan Hasanah, Think City, Taman Tugu dan KLC.
Acara yang terbuka kepada orang ramai itu dijayakan lebih 100 gerai, antaranya Gerai Rakyat oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menawarkan makanan dan minuman, barangan tempatan dan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak.
Pelbagai ceramah pengetahuan mengenai kesedaran kesihatan mental, belia, serta usaha CSR turut dijalankan termasuk persembahan tarian tradisional.
Entiti penciptaan nilai Khazanah merangkumi Yayasan Hasanah, Think City dan Taman Tugu, bersama KLC dan syarikat-syarikat pelaburan Khazanah iaitu Axiata, CIMB, Malaysia Airports, TNB, TM, UEM Group, PLUS, Iskandar Investment Berhad, IHH Healthcare, Destination Resorts and Hotels (DRH), Cenviro, ReGen Rehab Hospital dan Farm Fresh turut mempamerkan pelbagai projek pembangunan komuniti, produk, termasuk usaha pemeliharaan seni, budaya dan warisan.
Selari komitmen berterusan Khazanah terhadap aktiviti komersil dan pelaburan, ia juga komited untuk memupuk keterangkuman dan pemerkasaan, berusaha untuk meningkatkan komuniti terpinggir, mempromosikan pendidikan, meningkatkan bakat dan mengutamakan amalan yang mampan dan bertanggungjawab, untuk membina sebuah negara yang berkembang maju atas dasar kesaksamaan dan kemakmuran yang dikecapi bersama.
Sepertimana yang dikatakan oleh Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed, ini adalah sisi Khazanah yang tidak ramai tahu yang mana mereka tidak hanya unggul meneraju dalam lapangan komersial, tetapi juga rancak membangunkan segenap aspek rakyat di akar umbi.
“Ketika mereka bertumbuh, mereka tidak hanya mengembangkan sisi komersial tetapi juga sisi kemasyarakatannya, menyokong agenda yang lebih besar iaitu pembinaan negara dalam bentuk bagaimana ia diterjemah kepada orang ramai dan bagaimana rakyat dapat dihubungkan kepada hal-hal yang penting untuk negara.
“Setiap organisasi di sini dengan giatnya membentuk agenda pembangunan negara dalam lapangan tumpuan mereka dan menyumbang kembali dalam cahaya yang positif, hari ini adalah harinya mereka mempersembahkan segala yang telah dilaksanakan,” katanya.
Antara syarikat tempatan yang mendapat manfaat daripada salah satu program yang dilaksana Khazanah, Entomal Biotech Sdn. Bhd. merupakan penyedia penyelesaian lestari sisa buangan makanan yang berupaya menonjolkan diri lebih ke hadapan dalam pasaran.
Ketua Pegawai Komersial Entomal Biotech, Yanni Xinyan berterima kasih atas usaha Khazanah yang komited untuk tidak hanya memangkin perkembangan syarikat tempatan berpotensi tetapi juga mempamerkan komitmen jitunya untuk menjayakan matlamat kelestarian.
“Kami menyertai Cabaran Impak Inovasi Khazanah tahun lepas dan meraih geran RM400,000 untuk kami gunakan bagi membina fasiliti loji penukar sisa bio yang disasarkan dapat merawat sekitar 15 tan sisa makanan setiap hari.
“Dari sini kami dapat memulakan langkah kecil menangani perubahan iklim, mengurangkan melepasan karbon, merawat sisa makanan dengan lebih mampan pada masa sama memperkasa keselamatan makanan, di samping mewujudkan ekonomi kitaran untuk semua.”
Menurut Penasihat The Nusajaya Natural Heritage Trust, Nor Hisham Hussein, Khazanah menggalas tugas besar untuk memastikan kemakmuran dirasai oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Melalui perusahaan sosial di bawahnya, Khazanah telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memenuhi kekurangan dan memperkasa setiap bahagian masyarakat, sekali gus merapatkan jurang yang wujud dalam kerencaman yang unik di negara ini.
“Ia berperanan untuk menangani masalah sosial seperti alam sekitar, kos sara hidup dan kesaksamaan, hari ini saya lihat ia diterjemahkan melalui gabungan-gabungan organisasi di bawahnya yang memainkan peranan tidak hanya untuk membuat duit tetapi bagaimana untuk mengagihkan kek ekonomi negara dengan saksama,” katanya.
The Nusajaya Natural Heritage Trust adalah juga entiti di bawah Khazanah yang menguruskan SIREH Park @ Iskandar Puteri, hutan bandar terbesar di Malaysia yang menyokong usaha mewujudkan masyarakat rendah karbon.
#Khazanah Nasional #BerbudiBersama #siri program jangkauan komuniti #kemakmuran ekonomi
;