Khazanah Nasional fokus ruang pertumbuhan baharu, pengukuhan sektor
Israr Khalid
Mei 27, 2022 08:30 MYT
Mei 27, 2022 08:30 MYT
DAVOS: Khazanah Nasional Berhad kini sedang membahagikan tumpuannya untuk memberi suntikan kepada ruang pertumbuhan baharu serta pengukuhan sektor-sektor yang menjadi elemen penting dalam ketahanan negara.
Kata Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, di samping peranan hakikinya untuk meningkatkan nilai dana, mereka turut memikirkan bagaimana mereka dapat membantu memajukan Malaysia.
Maka, katanya, Khazanah memperuntukkan RM6 bilion untuk lima tahun ke sektor-sektor yang dapat membangunkan Malaysia.
“Walaupun mandat utama ialah untuk meningkatkan nilai dana yang kami ada tapi kami juga perlu fikirkan pihak berkepentingan lain untuk komuniti.
“Salah satu cabaran dana impak ini ialah untuk memilih sektor apa yang kita nak majukan dan bagaimana.”
Suntikan disasarkan kepada sektor berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan, keselamatan tenaga, sekuriti makanan, pendidikan dan agrikultur untuk menambah dan memperkuat daya tahan negara berdepan sebarang kemungkinan masa hadapan.
Bagi ruang pertumbuhan baharu pula katanya, Khazanah meneroka cara memanfaatkan teknologi untuk kelestarian bagi mempercepatkan proses peralihan syarikat berkaitan kerajaan ke pentas digital.
Tonton temu bual penuh beliau bersama hos Najib Aroff dalam program Agenda AWANI khas sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland, di sini: