Khazanah jalin kerjasama dengan SEG bangunkan 42MY
Bernama
Mac 18, 2023 23:39 MYT
Mac 18, 2023 23:39 MYT
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah menjalin usaha sama dengan Sunway Education Group (SEG) untuk membangunkan 42 Malaysia (42MY), sebuah sekolah sains komputer "peer-to-peer" yang inovatif, bertujuan memacu pembangunan 10,000 bakat teknologi mahir dalam dekad akan datang.
Khazanah dalam kenyataan hari ini berkata 42MY merupakan sebahagian daripada pergerakan global dengan rangkaian 47 kampus merentasi 26 negara menawarkan peluang pendidikan unik secara percuma bagi individu berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira latar belakang pendidikan dan sosioekonomi.
"Model pendidikan yang inovatif dan berskala dalam program itu memfokuskan kepada pendekatan pembelajaran berasaskan projek rakan sebaya dan praktikal, menyerupai persekitaran kerja sebenar, memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari pengekodan sambil bekerja dalam projek industri sebenar, dengan rakan kongsi korporat 42MY yang mengambil bahagian," menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pelaburan dalam 42MY adalah selaras dengan komitmen mereka dalam memberikan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia melalui mandat Dana Impak, asas utama imperatif strategik Advancing Malaysia.
Beliau berkata selaras dengan Belanjawan Malaysia MADANI 2023, Khazanah komited untuk memainkan peranan penting, bersama-sama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain dalam membiayai pertumbuhan pesat syarikat pemula di Malaysia bagi merangsang inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara.
"Penyediaan bakat adalah penting untuk pembangunan berterusan mana-mana industri. Bagi tujuan ini, 42MY akan terus memperkukuh ekosistem syarikat pemula dan teknologi domestik, dengan memupuk serta membangunkan bakat Malaysia, melengkapkan agenda pembangunan ekonomi digital negara dan mengukuhkan keupayaan IR 4.0," katanya.
Amirul Feisal menambah bahawa usaha sama dengan SEG memperlihatkan apa yang boleh dicapai melalui kerjasama serta perkongsian, dan Khazanah mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi visi yang sama dalam membangunkan bekalan tenaga mahir dan digital negara.
Sementara itu pengasas dan pemegang amanah Yayasan Jeffrey Cheah, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata menerusi kerjasama itu SEG akan mengembangkan 42MY ke seluruh negara melalui kampus baharu di Johor, Pulau Pinang dan Kuching pada tahun-tahun akan datang, dan juga berpotensi untuk dikembangkan di seluruh Malaysia.
"Dengan langkah ini, kami dapat menawarkan lebih ramai pelajar di seluruh negara dengan pendidikan berkualiti, mengesan dan memupuk lebih ramai bakat teknologi dalam proses untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN.
"Perkongsian ini juga mengukuhkan komitmen kami terhadap pembinaan negara dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Yayasan Jeffrey Cheah memiliki dan mentadbir semua entiti di bawah SEG dan ia merupakan yang terbesar seumpamanya, memajukan pendidikan di Malaysia melalui model perusahaan sosial.
-- BERNAMA