Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta untuk bantu mangsa banjir
Kenyataan Media
Disember 20, 2021 12:10 MYT
Disember 20, 2021 12:10 MYT
SUSULAN kenyataan terbaharu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berikutan banjir yang melanda negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ingin mengumumkan sumbangan RM5 juta untuk membantu menyokong usaha bantuan segera kepada mangsa banjir. Yayasan Hasanah, yayasan milik Khazanah, akan turut menyumbang RM2.5 juta untuk menyokong usaha bantuan ini.
Di samping sumbangan kewangan, Yayasan Hasanah turut bekerjasama dengan rakan NGO untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada mangsa banjir.
Sumbangan ini akan disalurkan melalui Rangkaian Tindakan Bencana (GDRN) Syarikat Berkaitan
Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan yang ketika ini menyelaraskan bantuan daripada GLC dan GLIC kepada mangsa yang memerlukan bantuan segera.
GDRN dikendalikan oleh sekretariat bersama yang diterajui Yayasan Hasanah dan Yayasan Telekom Malaysia.
Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah berkata: "kita telah saksikan kesan bencana banjir ini kepada ramai mangsa dan mengakibatkan kemusnahan kepada banyak komuniti di seluruh negara. Ini adalah tempoh yang sukar untuk ramai rakyat Malaysia.
"Dalam menangani situasi tersebut, Khazanah bersama Yayasan Hasanah telah menggerakkan pelbagai
bantuan di kawasan yang terjejas untuk membantu dan menyokong mangsa. Ini selari dengan sokongan kami kepada Kerajaan untuk memastikan isi rumah ini pulih dengan segera," katanya.
"Kami akan melakukan segala yang mungkin dan menghargai bantuan yang diberikan rakyat Malaysia dari
semua lapisan masyarakat kepada mangsa banjir.”
Datuk Shahira Ahmed Bazari, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, berkata: “kami menghargai bantuan dan tindak balas pantas oleh Kerajaan. Yayasan Hasanah akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO untuk membantu individu yang terjejas akibat banjir."
"Sebagai Sekretariat Bersama untuk GDRN bersama Yayasan TM, saya juga ingin melaporkan bahawa pelbagai GLC dan GLIC kini berada di lapangan untuk memberikan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan kepada mangsa. Kami juga bekerjasama rapat dengan NGO di serata negara untuk membantu mereka yang memerlukan," tambah Shahira.
Sumbangan kewangan yang diterima akan digunakan untuk bantuan segera termasuk logistik, penyediaan makanan dan kit kebersihan untuk keluarga dan kanak-kanak.
Khazanah, Yayasan Hasanah dan rakan kami akan turut menyediakan bantuan perubatan termasuk pembersih tangan, kit ujian pantas dan pelitup muka.
Semasa fasa pemulihan, bantuan kewangan akan digunakan untuk peralatan membersih, menyediakan kelengkapan asas rumah, kit kembali ke sekolah dan membantu sukarelawan.
Khazanah sebelum ini memberikan sokongannya kepada pelbagai usaha bantuan dan pembinaan
yang diterajui GDRN susulan banjir di Kelantan, Pahang dan Johor pada 2013 dan 2016.
Pada 2020, Khazanah turut menyumbang RM20 juta melalui GDRN untuk menyokong usaha bantuan
melawan pandemik COVID-19.