Khazanah bio-diversiti negara terjamin dengan kelulusan RUU - Dr Wan Junaidi

Hafiz Marzukhi
Ogos 1, 2017 16:30 MYT
WAN JUNAIDI: "Wajar bagi kita mewujudkan akta ini bagi menjaga kepentingan negara dari sudut bio-diversiti." - Gambar fail
Kekayaan bio-diversiti negara akan dapat dikawal selia dengan lebih teratur sebaik Rang Undang-undang (RUU) Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 diluluskan Dewan Rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang tersebut perlu bagi mengelakkan khazanah negara daripada dieksploitasi pihak luar.
"Malaysia merupakan negara ke-12 terkaya di dunia dari segi bio-diversiti.
"Oleh itu, adalah wajar bagi kita mewujudkan akta ini bagi menjaga kepentingan negara dari sudut bio-diversiti," katanya pada satu sidang media di lobi bangunan Parlimen hari ini.
Tambahnya, peruntukan undang-undang ini juga akan memberi kebaikan kepada komuniti tempatan memandangkan kepentingan mereka dalam perkongsian ilmu mengenai ubat-ubatan atau herba tempatan akan diberi pulangan.
"Bagaimanapun, peraturan spesifik akan digubal selepas pihak kami membuat engagement (pendampingan) dengan pihak yang terlibat bagi memastikan kepentingan khazanah negara terjaga," kata Wan Junaidi.
RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 ini diluluskan Dewan Rakyat melalui undi belah bahagi pada sesi petang hari ini.
#Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah #Dewan Rakyat #Rang Undang-Undang #Wan Junaidi Tuanku Jaafar
;