Khayal akibat dadah, kemaluan penganggur dicederakan rakan wanita
Dewi Nur Harasha Alias
November 14, 2020 21:04 MYT
November 14, 2020 21:04 MYT
GEORGE TOWN: Seorang lelaki mengalami kecederaan pada kemaluan dipercayai dihiris dengan objek tajam oleh rakan wanitanya ketika kedua-dua mereka berada dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah.
Dalam kejadian di sebuah pejabat di Bandar Baru Farlim, di sini, lelaki berusia 47 tahun berkenaan dikatakan hanya menyedari kecederaan itu selepas tersedar jam 7.55 pagi Jumaat.
Dia kemudian menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati, terdahulu mangsa bersama rakan wanita berusia 38 tahun itu menghisap dadah bersama-sama di pejabat berkenaan.
"Mangsa yang merupakan penganggur mendapati kemaluannya berdarah manakala rakan wanitanya itu menghilangkan diri apabila tersedar pagi semalam.
“Mangsa mengalami kecederaan luka hirisan yang tidak serius pada kemaluan, disyaki dicederakan dengan objek tajam dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa juga mempunyai rekod rawatan psikiatri di hospital sama.
Katanya, polis kemudian menahan suspek yang masih bujang pada jam 9 pagi Jumaat di Paya Terubong, Ayer Itam.
Beberapa barang dari tempat kejadian antaranya sebilah gunting yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa turut dirampas.
Soffian berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
#khayal
#penagih dadah
#cedera pada kemaluan
#teman wanita
#gunting
#berdarah
#George Town
#Bandar Baru Farlim
#Timur Laut
#polis
#Soffian Santong