Khalwat dengan suami orang, janda dan pasangan didenda

Sinar Harian
Mac 21, 2018 17:33 MYT
Pasangan itu mengaku berkhalwat kira-kira jam 1 pagi, pada 16 November lalu.
Seorang janda bersama pasangannya yang juga suami orang dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana berkhalwat di dalam sebuah rumah.
Janda berusia 31 tahun dan pasangannya, 43, bagaimanapun mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM2,700 atau sebulan penjara sekiranya gagal jelaskan denda.
Pasangan itu mengaku berkhalwat kira-kira jam 1 pagi, pada 16 November lalu.
Mereka mengaku salah atas tuduhan dibawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat
Bagi kesalahan itu, kedua-duanya boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, anggota Penguatkuasa Syariah Kuala Terengganu membuat serbuan di sebuah rumah selepas menerima maklumat awam.
Semasa berada di hadapan rumah, didapati pintu utama berkunci dari dalam sebelum mengetuk pintu sambil memberi salam.
Beberapa minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang perempuan dan sebaik masuk ke dalam rumah, didapati dua kanak-kanak perempuan dipercayai anak wanita tersebut lena tidur di ruang tamu rumah.
Pemeriksaan seterusnya menemukan seorang lelaki sedang berbaring di celah katil di dalam salah sebuah bilik dipercayai menyembunyikan diri.
Siasatan mendapati janda yang bekerja sebagai jurujual dan pasangannya yang bekerja sendiri tiada hubungan suami isteri atau mahram
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Nuru Hajja Mustafa.
#janda #khalwat #Kuala Terengganu #mahkamah syariah #mengaku bersalah
;