Khalid, SelangorKini nafi kempen guna media negeri
Astro Awani
April 15, 2014 21:44 MYT
April 15, 2014 21:44 MYT
Menteri Besar Selangor dan portal berita, SelangorKini menafikan media kerajaan negeri Selangor diperalatkan untuk kempen Tan Sri Khalid Ibrahim menjelang pemilihan Parti Keadilan Rakyat.
Khalid bertanding kerusi timbalan presiden mencabar penyandangnya, Mohd Azmin Ali.
"Tidak, saya tidak guna," kata Khalid ringkas seperti dipetik oleh Malaysiakini.
Ketua Pengarang SelangorKini, Fazallah Pit pula dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan menyiarkan sebuah rencana yang menyokong Khalid "dibuat atas keputusan editorial sepenuhnya."
Katanya, penyiaran artikel bertajuk "Pemilihan PKR 2014: Kenapa Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai Timbalan Presiden" itu tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak termasuk Khalid sendiri.
"Portal Selangor Kini/ TVSelangorku adalah sebuah laman yang melaporkan berita kerajaan negeri tetapi ia tidak bermakna isu politik semasa diketepikan begitu sahaja.
"Penyiaran itu dibuat bagi memastikan SelangorKini tidak ketinggalan isu semasa,” kata Fazallah dalam satu kenyataan media.
Jelas beliau, rencana yang dipetik daripada blog Omak Kau itu hanya memperkatakan kejayaan calon dan tidak menyinggung mana-mana pihak.
Katanya lagi, pihak editorial SelangorKini sedia mempertimbangkan penyiaran rencana calon lain, jika ada dan keputusan itu sepenuhnya bergantung kepada budi bicara Ketua Pengarang.
Isu penyiaran rencana itu berbangkit selepas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mengkritik SelangorKini dan menuduh Khalid menyalahgunakan media rasmi kerajaan negeri Selangor bagi tujuan berkempen untuk dirinya menjelang pemilihan parti itu bermula 26 April ini.
Selain Khalid dan Azmin, kerusi timbalan presiden PKR itu ditandingi oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan ketua cabang Hulu Selangor, K. Ramachandran.