Khalid nafi insiden Balai Polis Air Itam dikepung SPRM

Astro Awani
April 18, 2016 18:25 MYT
KHALID: PDRM tidak akan melindungi dan berkompromi dengan mana mana anggota polis yang terbabit dalam kes rasuah maupun kes yang menyalahi undang undang negara. -Gambar fail
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak mengepung sebuah balai polis di Pulau Pinang pada Ahad, tidak berlaku.
Sehubungan itu, kata Khalid, orang ramai diminta jangan mempercayai khabar angin tentang insiden itu.
Mengulas kejadian, Khalid berkata pihaknya tidak akan melindungi dan berkompromi dengan mana mana anggota polis yang terbabit dalam kes rasuah maupun kes yang menyalahi undang undang negara.
“Kita tidak sesekali berkompromi dengan sesiapa juga kakitangan kita yang terlibat dalam apa jua bentuk salah laku termasuk rasuah, jadi kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam hal menyiasat, membanteras perbuatan salah laku ini,” kata Khalid.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menubuhkan Jabatan Integriti bagi memastikan semua anggota polis mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, termasuk yang melibatkan gejala rasuah.
Beliau ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan PDRM di Bukit Aman, pada Isnin.
SPRM Pulau Pinang pada Ahad menahan lima anggota polis termasuk seorang anggota wanita dari Balai Polis Air Itam dekat sini.
Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan sejumlah wang menyelesaikan kes curi kereta membabitkan seorang lelaki baru-baru ini.
#kes curi kereta #PDRM #Rasuah #SPRM #sprm kepung balai
;