Khalid nafi DAP terlibat dalam pemberian tender DBKL
Rahimah Abdullah
Januari 11, 2019 17:51 MYT
Januari 11, 2019 17:51 MYT
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan parti DAP menguasai projek-projek di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tegasnya, parti itu tidak terlibat secara langsung dalam pemberian tender berkenaan.
“Dakwaan mengatakan DAP menguasai projek, ia tidak benar. Tender ditawarkan DBKL masih lagi mengikut kategori seperti bumiputera, tender terbuka dan sebagainya,” katanya semasa menjawab soalan penonton program Bicara Minda bersama Khalid Abdul Samad anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang cuba memecahkan penguasaan kontraktor tertentu ke atas tender sejak sekian lama.
“Masalahnya kita nak pecahkan penguasaan atas tender oleh kontraktor lama dan menguasainya atas sebab tertentu. Macam sebelum ini, saya suruh nilai sekali lagi sebab ada benda tak betul.
“Selama ini tender dikuasai Melayu ramai, syarikat lama yang kuasai. Kita kena pecahkan monopoli ini. Inilah matlamat saya,” ujar beliau.
Ada kontraktor berkenaan yang memiliki sehingga 10 buah syarikat di bawahnya.
Malah, katanya, langkah penelitian berkenaan perlu dibuat bagi melihat semula kos-kos yang dikenakan kontraktor terlibat.