Khalid jawab Ku Nan, pewartaan Pelan Bandar Kuala Lumpur akan lebih telus

Diyana Ibrahim
November 1, 2018 15:29 MYT
KHALID: Persoalan boleh ditukar, semua boleh tukar dan dipinda Perlembagaan.
Langkah mewartakan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020) dilaksanakan bagi menjamin sebarang pelanggaran pembangunan yang berlaku tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata mewartakan pelan tersebut akan memastikan proses yang lebih telus sekali gus menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Persoalan boleh ditukar, semua boleh tukar dan dipinda Perlembagaan. Kalau kita nak tukar pun boleh.
“Tapi saya kata kan apabila diwartakan, proses pindaan itu adalah lebih sukar dan lebih telus. Kalau tidak diwartakan, apa saja boleh buat sesuka hati ini lah apa yang kita ingin halang,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini bekas menteri Wilayah Persekutuan itu bangkit mempertahankan dirinya berhubung keputusannya dulu yang enggan meluluskan pewartaan tersebut.
Kata Tengku Adnan tidak bersetuju kerana selepas pewartaan tersebut dilakukan maka menteri mempunyai kuasa untuk meminda peraturan.
“Saya minta itu dikeluarkan. Keduanya oleh kerana kajian dilaksanakan begitu lama dimana plot ratio, intensiti dan kepadatan mesti diubah sebab tanah ini dimiliki rakyat kalau tidak nilai tanah akan jatuh," ujarnya.
Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 diwartakan dua hari lepas selepas tiga tahun tertangguh.
Khalid berkata dengan pewartaan tersebut, kementerian mempunyai kuasa dalam menangani isu pelanggaran pembangunan tidak selari dengan pelan tersebut.
Ini katanya dengan membabitkan rundingan semula dengan pihak pemaju, atau Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur boleh membatalkan perancangan pembangunan, namun akan menyebabkan pemfailan saman oleh pemaju.
#Khalid Samad #PBRKL 2020 #Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 #Tengku Adnan Tengku Mansor
;