Khalid Ibrahim umum tanding jawatan Timbalan Presiden PKR

Bernama
Februari 28, 2014 07:35 MYT
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - Gambar Fail
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti Mei ini.
Bagaimanapun, beliau berkata persiapan untuk merebut jawatan itu hanya akan dibuat selepas berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang bulan depan.
"Saya akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan nanti. Tapi tiada persediaan lagi ke arah itu kerana buat masa ini dan sebagai pengarah jentera pilihan raya, saya akan fokus untuk (pilihan raya kecil) Kajang dulu, perkara ini (akan difikirkan) selepas itu," katanya ketika berucap di majlis makan malam bersama anggota cabang PKR di kediamannya malam tadi.
Abdul Khalid mengumumkan perkara itu bagi menjawab desas-desus beliau akan turut bertanding merebut jawatan nombor dua parti, yang kini disandang Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini, hubungan mereka dilapor 'tidak begitu mesra' apabila Azmin sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri membabitkan beberapa isu tertentu.
Terbaru, Azmin mengecam tindakan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun bulanan Menteri Besar serta anggota majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dianggap terlalu tinggi.
#Azmin Ali #DUN Kajang #Khalid Ibrahim #PKR
;