Khalid Ibrahim bakal saman Manikavasagam kerana tuduhan beli undi

Astro Awani
Mei 13, 2014 07:23 MYT
Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam ekoran tuduhan politik wang yang dilemparkan ke atasnya.
Perkara ini disahkan oleh Khalid di dalam laman Twitternya.

Saya telah arahkan peguam untuk menghantar Notis Tuntutan Saman kepada Manikavasagam kerana menuduh saya melakukan rasuah membeli pengundi.

— Abdul Khalid Ibrahim (@Khalid_Ibrahim) May 13, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Ahad lalu, Manikavasagam yang merupakan calon jawatan ketua bahagian PKR Kuala Selangor dan berdepan satu lawan satu dengan Khalid berkata beliau mempunyai bukti kukuh tentang politik wang yang diamalkan oleh Khalid.
Manikavasagam berkata beliau akan mendedahkan perbuatan itu kepada umum tidak lama lagi.
Beliau berkata pesaingnya memberi suapan hingga RM50 bagi setiap undi dan beliau mempunyai bukti kukuh tentang perbuatan itu.
"Saya ada bukti dalam bentuk rakaman video (politik wang) dan saya akan muat naikkannya tidak lama lagi.
Saya menerima aduan bahawa pemilih diberi rasuah RM30 untuk memberi undi kepada calon yang bertanding bagi jawatan kebangsaan dan RM20 bagi jawatan ketua bahagian Kuala Selangor.
"Saya harap jawatankuasa pemilih akan bertindak segera tentang perkara ini," katanya.
Ekoran itu, Khalid telah menafikan penglibatannya dalam membeli undi untuk mendapatkan sokongan pada proses pemilihan PKR.
Calon timbalan presiden PKR itu bagaimanapun mengaku menaja pengangkutan bagi kemudahan pengundi ke tempat pusat mengundi.
Beliau telah turut menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati supaya mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR.
Pemilihan PKR 2014 pada 11 Mei telah ditunda ke suatu tarikh yang belum ditetapkan berikutan dakwaan bahawa proses pengundian dicemari perkara di luar peraturan.
#khalid. politik wang #manikavasagam #PKR