Khalid angkat sumpah, umum exco 2 minggu lagi

Hakim Rahman
Mei 14, 2013 10:39 MYT
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dilantik sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.
Abdul Khalid memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum baru-baru ini, menerima perkenan dari Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah kira-kira jam 10.10 pagi ini.
Dalam istiadat berkenaan, Khalid turut melafazkan 10 akujanji jawatan Menteri Besar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Antaranya memelihara keistimewaan orang Melayu dan kepentingan kaum lain seperti termaktub Dalam Perlembagaan Persekutuan Dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Selain menjunjung prinsip Rukun Negara, beliau juga berjanji memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam.
Perlantikan tersebut mengakhiri spekulasi sepanjang minggu lalu tentang siapa yang akan memegang jawatan tersebut.
Abdul Khalid juga dijangka akan mengumumkan barisan Exco Selangor dalam masa dua minggu.
Dalam sidang media selepas pelantikan itu, Khalid enggan mendedahkan barisan exco dan beliau berkata:
"Perkara ini dalam perbincangan jadi sebab itu kita belum boleh buat pengumuman supaya tidak ada spekulasi,” katanya.
"Saya berjanji tidak akan mengumumkan (senarai Exco) kepada umum sehingga semua proses selesai," katanya.
Khalid juga enggan mengesahkan sama ada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Azmin Ali akan dilantik menjadi exco kerajaan negeri.
Sebelum ini Khalid memaklumkan akan mengumumkan barisan Exco negeri selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.
#baru #dilantik #Khalid #MB
;