Khaled Nordin sedia beri kerjasama jika dipanggil PAC berhubung LTAT

Bernama
Julai 17, 2024 08:00 MYT
Mohamed Khaled berkata beliau masih belum menerima sebarang makluman dari PAC untuk menghadiri prosiding berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui media. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia memberikan kerjasama sekiranya dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang akan datang.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata beliau masih belum menerima sebarang makluman dari PAC untuk menghadiri prosiding berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui media.
"Kalau saya ada terima undangan, Insya-Allah saya akan hadir," katanya kepada wartawan selepas melancarkan Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Kampung Bukit Sedili Besar, dekat sini hari ini.
Beliau berkata operasi LTAT ketika ini berjalan dengan lancar dan berada di landasan yang betul untuk mencatat prestasi yang baik.
"Tempoh hari Pharmaniaga telah umumkan keuntungannya, Insya-Allah lain-lain syarikat di bawah LTAT saya percaya berada pada landasan betul, tak perlu untuk dijual, tetapi melalui usaha mereka sendiri, mereka mampu untuk memastikan syarikat dalam keadaan yang baik dan boleh buat keuntungan.
"Dengan demikian, LTAT terjamin untuk mengumumkan dividen bagi anggota tentera yang menjadikan LTAT tempat simpanan duit mereka sebagai tabung simpanan pencen mereka," katanya.
Semalam, pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata akan memanggil Mohamed Khaled dan tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi pada prosiding LTAT yang seterusnya pada Ogos depan.
Mereka yang lain adalah bekas Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT Dayana Rogayah Omar.
Prosiding LTAT dijadualkan bersambung pada 7 Ogos depan setelah PAC mengadakan prosiding pertama pada 20 Jun lepas.
Prosiding itu bagi mendapatkan penjelasan susulan pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mac lepas.
LKAN mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiarinya berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Bhd (RM768 juta) dan Pharmaniaga Bhd (RM44 juta).
-- BERNAMA
#Mohamed Khaled Nordin #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #PAC #LTAT