Khaled Nordin mula tugas Menteri Pertahanan

Faida Rahim
Disember 15, 2023 14:22 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan tugasnya secara rasmi di Kementerian Pertahanan di ibu negara pada Jumaat. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan tugasnya secara rasmi di Kementerian Pertahanan di ibu negara pada Jumaat.
Beliau tiba di pejabat Kementerian kira-kira pukul 8.30 pagi dan mengimbas mesin perakam waktu tepat pukul 8.40 pagi.
Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Abd Rahman; Pengurusan tertinggi serta warga Kementerian Pertahanan.
Sejurus itu, beliau menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Wisma Pertahanan.
Selepas itu, Mohamed Khaled menghadiri mesyuarat tertutup oleh pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.
Terdahulu, beliau menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan pada Rabu.
Mohamed Khaled sebelum ini memegang portfolio Menteri Pendidikan Tinggi.
#Mohamed Khaled Nordin #Menteri Pertahanan #Dataran Wisma Pertahanan #Datuk Seri Mohammad Hassan
;