Khaled mahu teroka inisiatif baharu bawa KPT ke peringkat lebih baik
Bernama
Disember 5, 2022 14:58 MYT
Disember 5, 2022 14:58 MYT
PUTRAJAYA: Dasar-dasar baik yang telah direncanakan oleh pentadbiran terdahulu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan diteruskan, kata menteri baharunya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata pada masa sama beliau akan turut menumpukan usaha meneroka inisiatif baharu untuk meletakkan sektor pendidikan tinggi negara ke tahap lebih baik berbanding sebelum ini.
"Kali terakhir saya berada di sini adalah pada tahun 2013. Walaupun orang kata 'sirih pulang ke gagang', tapi saya rasa banyak benda (perkara) sudah berubah. Jadi perkara-perkara yang baik tentunya akan saya teruskan.
"Saya juga sedar bahawa selepas negara dilanda COVID-19, banyak perubahan dan cabaran yang dihadapi oleh sektor pengajian tinggi negara. Maka sudah tentu lah kita perlu lihat bagaimana sektor ini boleh menghadapi semua itu," katanya ketika ditemui selepas memulakan tugas rasmi di pejabatnya di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memulakan tugas sebagai Menteri Pendidikan Tinggi hari ini dengan mengimbas kad perakam waktu pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan dua Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Datuk Dr Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian (Dasar) dan Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff (Pengurusan dan Pembangunan).
Ini adalah kali kedua Khaled diberikan tanggungjawab memegang portfolio Pendidikan Tinggi selepas kali pertama menjawatnya pada 2008 di bawah Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.
-- BERNAMA