Khaled akan bertemu pihak universiti, perkasa sektor pendidikan tinggi

Bernama
Disember 14, 2022 20:58 MYT
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Apresiasi dan Serah Tugas Menteri Pendidikan Tinggi di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
SEPANG: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan pertemuan dengan pihak universiti dalam usahanya memperkasa sektor pendidikan tinggi.
Beliau akan turut mendengar taklimat daripada pihak universiti supaya dapat memahami lebih jelas peranan dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta institusi dalam kementerian.
"Usaha untuk mentransformasi negara bergantung kepada sektor pendidikan tinggi, maka atas sebab itu pendidikan tinggi mesti berada pada landasan betul dan perlu mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua, khususnya kementerian dan agensi yang ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspresiasi dan Serah Tugas Menteri Pendidikan Tinggi di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata beliau akan memberikan amanat berkenaan hala tuju serta usaha KPT untuk menjayakan sektor pendidikan tinggi merangkumi universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti pada Januari tahun depan.
"Soal isu-isu dihadapi pelajar seperti kebolehpasaran siswazah, pembiayaan pelajar dan sebagainya (akan diberikan perhatian). Kita mahu sediakan mereka sebagai insan yang dikehendaki dalam abad ke-21.
"Kita juga akan memastikan bagaimana sektor pendidikan tinggi dapat menjayakan negara yang ekonominya berasaskan pengetahuan dan inovasi," katanya.
Ditanya kemungkinan terdapat penambahan universiti awam (UA), Mohamed Khaled berkata kementerian tidak akan menambah institusi tersebut tetapi memberi tumpuan serta usaha mengukuhkan kepimpinan universiti selain memenuhi misi dan visi KPT.
"Sekarang ada 20 UA yang dikategori sebagai universiti penyelidikan, universiti komprehensif dan sebagainya dan semua (universiti) ini kita harap dapat berjalan dengan baik," katanya.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled berkata institusi pengajian tinggi swasta juga memainkan peranan penting untuk menjayakan sektor pendidikan tinggi dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bakat serta pengetahuan.
"Jika kita mahu Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan, kita perlu jadikan Malaysia tumpuan untuk belajar di peringkat tinggi oleh pelajar antarabangsa dan UA tidak boleh tampung semua keperluan pelajar antarabangsa.. peranan ini boleh dimainkan pihak universiti swasta," katanya.
-- BERNAMA
#pendidikan tinggi #Mohamed Khaled Nordin #universiti #KPT #PM10
;