Khairy terima suntikan vaksin Sinovac 18 Mac di Hospital Rembau
Fauzi Suhaimi
Mac 15, 2021 15:23 MYT
Mac 15, 2021 15:23 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia akan menggunakan vaksin Sinovac keluaran China mulai 18 Mac ini di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Menurut Menteri Penyelarasan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, beliau akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin jenis itu di negara ini.
"Pada 18 Mac, kita akan mula vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac di Hospital Rembau dan sayalah orang pertama akan guna vaksin itu," katanya dalam sidang media mingguan PICK di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia akan meneruskan pembelian vaksin Astrazeneca memandangkan tiada bukti penggunaan vaksin berkenaan menyebabkan darah beku.
Katanya, bagaimanapun pihaknya akan terus memantau ujian klinikal vaksin terbabit dengan mengambil kira kesan-kesan seperti yang didakwa.
"Setakat ini tidak ada yang menunjukkan kaitan langsung antara pemberian vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian.
"Namun demikian, kita masih lagi kaji perkara tersebut dan vaksin belum sampai ke Malaysia. Kita juga belum gunakannya, tetapi dalam tempoh masa ini, kita akan terus lihat kepada data ujian klinikal berkenaan dengan kejadian-kejadian tersebut.
"Apabila pakar telah buat rumusan terhadap isu ini, kita akan umumkan nanti dan buat masa ini tiada apa-apa pendirian lain dan kita kekal untuk teruskan pembelian," katanya,
Sementara itu, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan perolehan bekalan vaksin satu dos suntikan daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J) dari Amerika Syarikat (AS).
#Khairy Jamaluddin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#COVID-19
#Sains
#AstraZeneca
#China
#Amerika Syarikat
#Vaksin Sinovac