Khairy terdesak guna Shafee untuk raih kepercayaan rakyat - Nik Nazmi
Astro Awani
Februari 18, 2015 15:49 MYT
Februari 18, 2015 15:49 MYT
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin disifatkan terdesak apabila menggunakan khidmat pendakwa raya kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan kepercayaan rakyat di dalam siri jelajah isu itu ke seluruh negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kesediaan Shafee untuk bersama program tersebut bukan sahaja merupakan satu tindakan yang tidak wajar, malah merendahkan martabat sistem kehakiman dan Jabatan Peguam Negara.
"Shafee jadikan seolah-olah penghakiman tersebut begitu lemah sehingga perlu dipertahankan sebegitu rupa walaupun keputusan tersebut memihak kepada mereka.
"Shafee yang dilantik secara ad-hoc sebagai timbalan pendakwaraya dilihat mengeluarkan kenyataan-kenyataan menghina Anwar selepas keputusan kes berkenaan terutamanya menerusi media-media milik UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar.
Anwar kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari hampir tujuh tahun lalu.
Kata Nik Nazmi, tindakan yang dibuat Shafee adalah tidak profesional selain tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
"Bagaimana seorang pendakwaraya daripada Peguam Negara keluar untuk membuat pelbagai kenyataan terhadap tertuduh, lebih-lebih lagi melalui ‘roadshow’.
"Malah ketua pendakwaraya dalam kes Fitnah 1 terdahulu dan kes-kes berprofil tinggi yang lain juga tidak pernah dilihat mencanang penjelasan mereka di media UMNO apatah lagi melalui satu roadshow selepas keputusan kes mereka," ujarnya.
Jelasnya lagi, kelakuan Shafee dan kesediaannya untuk bersama Pemuda UMNO dalam jelajah dilihat tindakan kebudak-budakan.
"Shafee bersikap macam kanak-kanak dalam berdepan dengan kritikan oleh masyarakat berhubung penglibatannya dan sekali gus keputusan kes tersebut yang dikecam hebat oleh masyarakat dan negara-negara luar," tegasnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi meminta Shafee agar sudi menyahut cabaran berdebat secara terbuka dan tidak bersembunyi di belakang hujah semasa 'roadshownya' sahaja.