Khairy selar tindakan Speaker gantung Wan Ahmad Fayshal

Pia Ernadya
Julai 19, 2024 11:55 MYT
Khairy Jamaluddin menyelar tindakan kerajaan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal selama enam bulan.
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyelar tindakan Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan.
Menurut beliau, Ahmad Fayhsal sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membela diri sebelum Dewan Rakyat membuat keputusan tersebut.
"Saya bersependapat dengan YB Pasir Gudang (Hassan Karim), bukan tidak pernah berlaku penggantungan di dalam dewan tetapi ia bagi tujuan untuk keadaan tertentu seperti menghina Speaker, degil, tak nak ikut arahan dan sebagainya.
"Dalam kes ini, perbahasan dah berlangsung. Biasanya apa yang sepatutnya dibuat adalah Ahli Parlimen tersebut dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebab dalam jawatankuasa ini, (seseorang) itu diberi hak untuk mempertahankan diri.
"Maka, dalam kes ini, memang ada masalah dari segi penafian keadilan," beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Larian Keluarga Malaysia.
Tambahnya lagi, beliau turut mendengar ulasan dan penggulungan daripada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said tentang keseriusan tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Machang.
"Whatever it is, kita boleh bahas di Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebab tu lah (tujuan Jawatankuasa itu) ditubuhkan supaya Ahli Parlimen ada hak untuk membela diri.
"Katalah kalau kamu dituduh membuat satu kesalahan, adil ke tidak mereka dipecat begitu sahaja? Saya rasa tak adil... semua ada hak membela diri dan dia tidak dibernarkan," ujarnya lagi.
Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan berkuat kuasa hari ini susulan dakwaan mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Usul itu yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan melalui undi belah bahagian.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 110 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, tidak hadir (46) manakala tidak undi (tiga) dengan usul berkenaan selepas ia dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.
Sebaik sahaja Johari mengumumkan keputusan tersebut, semua Ahli Parlimen blok pembangkang bangun membaca doa qunut nazillah yang diketuai oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
#Khairy Jamaluddin #Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #Dewan Rakyat #Tan Sri Johari Abdul