Khairy sedia beri taklimat terperinci berkenaan kos vaksin COVID-19 kepada PAC

Astro Awani
Disember 23, 2020 15:56 MYT
Menurut Khairy, anggota PAC diminta patuh pada syarat kerahsiaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bersedia memberi taklimat terperinci berkenaan kos vaksin COVID-19 kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dalam masa terdekat ini.
Namun, anggota PAC diminta patuh pada syarat kerahsiaan (non-disclosure agreement).
Beliau berkata demikian ketika sidang media perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di Putrajaya pada Rabu.
"Saya bersedia dan akan berkongsi maklumat berhubung kos vaksin dan syarat rundingan.
"Tidak ada satu pun maklumat yang boleh dikongsi sama sekali atas sebab syarat kerahsiaan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal," kata Khairy.
Beliau turut menyuarakan kesediaannya untuk bersikap telus terhadap PAC sehubungan isu-isu berbangkit berhubung kos pembelian vaksin untuk rakyat Malaysia.
"Bukan sahaja Malaysia yang menandatangani syarat kerahsiaan berikut. Kesemua negara-negara yang membuat rundingan kos pembelian vaksin juga terikat dengan perjanjian itu.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #pandemik penularan COVID-19 #vaksin #PAC
;