Khairy mohon diberi peluang satu penggal lagi

Astro Awani
September 21, 2013 22:14 MYT
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap agar diberi peluang untuk terus menerajui Pergerakan Pemuda Umno untuk sepenggal lagi bagi meneruskan beberapa misinya yang belum selesai.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas tamat proses pencalonan, Khairy menyifatkan pertandingan lima penjuru yang bakal dihadapinya selari dengan transformasi yang dilaungkan Umno.
"Saya mengharapkan para perwakilan untuk terus memberi sokongan kepada saya selama sepenggal lagi bagi meneruskan beberapa misi saya dalam sayap yang belum terlaksana," katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau berharap agar pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu dapat dijalankan dengan cara yang berhemah.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Suka mengambil serius cabaran dan tentangan yang bakal dihadapinya.
"Saya juga mengambil serius cabaran ini dan semoga kita semua dapat bertanding dalam suasana rukun serta harmoni," katanya dalam kenyataan tersebut.
Proses pencalonan yang berakhir hari ini menyaksikan Khairy, yang juga ahli Parlimen Rembau dicabar empat lagi calon iaitu Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak dan Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.
Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali juga turut sah akan bertanding menentang Khairy.
Pencabar Khairy, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, 37, hari ini melabel pemimpin yang tidak pernah "bersekolah" di Malaysia, tetapi ingin memperjuangkan komuniti Melayu adalah ibarat Bangla.
Beliau yang mengakui mempunyai kelebihan bersekolah di dalam negara menegaskan, hanya mereka yang membesar di dalam negara memahami perjuangan mempertahankan Melayu.
"Di kalangan pemimpin yang ada, mereka tidak bersekolah di Malaysia pun, dia ibarat macam bangla datang, umur 20 tahun datang Malaysia, nak cerita perjuangan Melayu, dia berjuang apa? Dia tak pernah bersekolah di Malaysia pun.
"Untuk memahami perjuangan bangsa, kita perlu secara asasnya mengalaminya sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.
#KHAIRY #Pemuda UMNO
;