Khairy minta maaf berhubung masalah teknikal sistem daftar AstraZeneca
Astro Arena
Mei 27, 2021 19:05 MYT
Mei 27, 2021 19:05 MYT
KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin memohon maaf susulan masalah teknikal ketika permohonan pusingan kedua janji temu vaksin AstraZeneca yang dibuka pada Rabu.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu menjelaskan, akan bertanggungjawab kepada semua pihak yang mengalami masalah membuat tempahan vaksinasi AstraZeneca pusingan kedua tersebut.
Khairy juga berkata, ia sekali gus menyebabkan, pemohon kecewa akibat kelemahan sistem yang dihadapi.
"Saya tidak menafikan pengalaman pengguna atau user experience yang dilalui menyebabkan ramai kecewa akibat kelemahan sistem untuk memproses permintaan tinggi dengan cekap. Ia sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik.
"Ia sepatutnya berjalan dengan lebih baik. Sebagai contoh, ada tarikh dipaparkan di skrin menunjukkan warna kelabu dan bukan lagi hijau, menyebabkan pengguna menekan tanpa henti hanya untuk diberitahu slot tempahan telah penuh," katanya dalam sidang media pada Khamis.
Dalam pada itu jelasnya, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca, kelemahan dan masalah kepada sistem berkenaan.
"Mampu telah memulakan siasatan berhubung masalah ini selepas tempahan ditutup semalam.
"Siasatan ini akan kenal pasti masalah berkaitan serta akan mengatasinya untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Pemohon janji temu vaksin COVID-19 AstraZeneca fasa pertama pada 2 Mei lalu turut berdepan isu teknikal yang sama ketika awal pendaftaran, iaitu ketika memilih lokasi PPV dan tarikh janji temu.
Fasa kedua melibatkan lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di lima buah negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
JKJAV sebelum ini memaklumkan pemberian suntikan bagi pusingan kedua inisiatif ini akan dimulakan pada 7 Jun sehingga 27 Julai.