Khairy ketuai delegasi Malaysia ke WPRCM ke-72 di Jepun

Bernama
Oktober 24, 2021 20:09 MYT
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) ke-72 di Himeji, Jepun yang dijadualkan bermula esok hingga 29 Okt ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) ke-72 di Himeji, Jepun yang dijadualkan bermula esok hingga 29 Okt ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, delegasi tersebut turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan KKM.
"WPRCM kali ini akan membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-74 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 1 Jun 2021 lepas secara dalam talian, serta membincangkan cadangan agenda bagi WHA ke-75 yang akan diadakan pada Mei tahun depan.
"Antara perkara berbangkit yang bakal dibincangkan pada WPRCM ke-72 adalah penjagaan kesihatan primer, COVID-19, kesihatan sekolah, laporan kemajuan program teknikal serta usaha koordinasi dan kepimpinan," menurut kenyataan itu.
Antara rangka kerja yang akan disertai Khairy menerusi mesyuarat selama lima hari itu adalah mengadakan siri mesyuarat dua hala dengan beberapa negara berkepentingan, bagi membincangkan isu strategik serta dijemput sebagai speaker untuk sesi khas bertemakan 'Communication for Health' pada 28 Okt ini.
KKM-WPRCM 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Selain itu, Khairy juga dijadualkan membuat kenyataan celahan ke atas laporan oleh Pengarah Rantau Pasifik Barat Dr Takeshi Kasai, sekali gus memuktamadkan agenda perbincangan berhubung keselamatan kesihatan dan rintangan antimikrob; penyakit tidak berjangkit dan penuaan; perubahan iklim; alam sekitar dan kesihatan serta cadangan visi baru bertajuk 'For the Future'.
Menurut KKM kehadiran Malaysia ke WPRCM ke-72, merupakan manifestasi komitmen penuh negara yang sentiasa menyokong pelaksanaan tindakan bersepadu semua negara anggota dalam usaha pencegahan, pengawalan dan perawatan penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit serta penyakit baharu muncul.
Menyifatkan penyertaan tersebut sebagai penting, KKM berkata ia bagi memastikan kepentingan pelbagai dasar negara diberi pertimbangan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam membuat sebarang keputusan lebih baik.
"Malaysia juga akan memperolehi peluang untuk menyatakan pendirian dalam membangunkan sektor kesihatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut KKM.
Selain Malaysia, WHO Rantau Pasifik Barat turut dianggotai 36 negara maju dan sedang membangun lain antaranya Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Brunei, Cambodia, China dan Filipina.
Sekretariat utama bagi rantau ini adalah Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) yang bertempat di Manila, Filipina.
-- BERNAMA
#WPRCM #delegasi malaysia #Khairy Jamaluddin #Himeji #Jepun #KKM
;