Khairy: Kerajaan yang terbuka boleh hapuskan ektrimis

Harris Hardy Hakim
Disember 3, 2013 16:52 MYT
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yakin sebuah kerajaan yang ikhlas mendengar pandangan rakyatnya dapat melenyapkan gerakan bersifat ekstrimis.
Khairy berkata gerakan kesederhanaan akan berjaya mencapai matlamatnya jika semua negara membuka ruang kepada rakyat masing-masing menyuarakan pandangan mereka.
Katanya, gerakan ekstrimis akan terus wujud selagi ada masyarakat di dunia merasakan diri mereka ditindas.
"Kesederhanaan sukar dilaksanakan apabila kita berdepan dengan ketidakadilan global akibat mereka yang kuat bersaing dengan golongan yang lemah.
"Sepertimana yang dikatakan oleh Khaled Meshaal, kesederhaan sukar dilaksanakan bila kita merasakan berlakunya ketidakadilan dan penindasan. bagaimana kita mahu bertindakbalas dengan kesederhanaan?" katanya semasa berucap pada sidang pleno di Forum Antarabangsa UMNO 2013, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Katanya, hakikat itu disedari oleh Malaysia yang kini sedang giat melakukan transformasi terutamanya terhadap sistem perundangan bagi menjamin hak kebebasan rakyat.
Khairy pada masa sama menyeru semua negara yang menyertai forum ini agar berusaha mengubah struktur badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya berpaksi kepada kuasa besar.
"Negara-negara yang membawa suara kesederhanaan tidak patut merasa lemah kerana mereka mampu melakukan perubahan melalui kerjasama erat," katanya.
Forum dua hari itu disertai oleh 121 delegasi yang mewakili 31 buah parti politik dari 25 buah negara.
#Forum Antarabansa #Khairy Jamaluddin #UMNO
;